--> Skip to main content

Covid-19: Tamat atau lanjut PKPP bergantung kepada situasi

PERINTAH Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan dilanjutkan atau tidak selepas tamat pada 31 Ogos ini bergantung kepada situasi semasa global dan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengumuman mengenai perkara itu akan dilakukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Pengumuman akan dibuat Perdana Menteri, tetapi kami di KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) melihat beberapa faktor antaranya situasi global, tempatan termasuk serantau sebelum membuat cadangan komprehensif lengkap untuk dibentangkan kepada Perdana Menteri.

"Perdana Menteri akan buat pengumuman, bukan saya," katanya ringkas dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, KKM melalui Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba mencadangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melanjutkan PKPP yang akan berakhir 31 Ogos ini.

Saranan berkenaan diusulkan berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung Covid-19 berlaku tidak kurang dari dua tahun.