--> Skip to main content

COVID-19: Rakyat Afghanistan yang menganggur beralih tanam candu

JALALABAD: Rakyat Afghanistan yang terjejas pekerjaan akibat pandemik COVID-19 kini beralih kepada penanaman candu untuk mendapatkan tunai pada musim penuaian biji popi pada tahun ini.

Afghanistan, antara negara penanam candu tertinggi di dunia, menghasilkan lebih 80 peratus bekalan global dan menyediakan beratus-ratus ribu pekerjaan dalam ekonomi yang sentiasa mengalami kekurangan wang.

Sekatan pergerakan akibat COVID-19 menyebabkan perdagangan terhenti dan banyak perniagaan di Afghanistan, iaitu negara yang penuh dengan konflik di mana pekerjaan yang stabil jarang ada, terpaksa menghentikan pekerja.

Petani biasanya bergantung pada tenaga buruh bermusim untuk menuai pada musim panas dan luruh, namun ketika COVID-19 ini ramai yang tidak sanggup untuk bekerja.

Sebuah laporan yang diterbitkan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) pada Jun lalu mendapati kekurangan pekerja berlaku di wilayah barat dan selatan negara itu disebabkan oleh penutupan sempadan dengan Pakistan.

Walaupun terdapat banyak program pembasmian selama bertahun-tahun, petani Afghanistan terus menanam popi tanpa takut kerana pegawai pemerintah dan Taliban, masing-masing mendapat keuntungan dari perdagangan yang menguntungkan.

"Tidak ada pekerjaan dan ramai orang terutama saudara-mara dan penduduk kampung saya mengusahakan penanaman popi kerana pengangguran," kata Musafir, seorang penduduk daerah Khogyani di wilayah timur Nangarhar.

Penderma antarabangsa membelanjakan berbilion-bilion dolar dalam usaha melawan kegiatan narkotik di Afghanistan sejak sedekad lalu termasuk program untuk mendorong petani beralih ke tanaman lain seperti safron.

Namun, usaha untuk beralih dari popi tidak begitu berjaya.

"Dasar pembasmian paksa tidak berjaya dalam tempoh 18 tahun lalu. Sayangnya, Kandahar menghadapi peningkatan penanaman popi tahun ini," kata Gabenor Wilayah Kandahar Selatan, Hayatullah Hayat. - AFP