--> Skip to main content

COVID-19: Pelancong perubatan Ethiopia disahkan positif

BANGKOK: Seorang pelancong perubatan dari Ethiopia dan suaminya adalah antara enam pesakit COVID-19 yang baharu di Thailand.

Pengarah Bahagian Penyakit Berjangkit Dr Sophon Iamsirithavorn berkata wanita Ethiopia berusia 36 tahun itu tiba di Thailand pada Rabu untuk mendapatkan rawatan perubatan, dengan ditemani suaminya yang berusia 34 tahun.

Katanya, pasangan itu sudah menjalani kuarantin wajib di hotel yang dikhususkan untuk kuarantin setibanya di Bangkok.

Pesakit COVID-19 baharu yang lain termasuk seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) berusia 62 tahun, pemegang permit kerja yang tiba dari Jerman pada 22 Ogos lalu.

"Sementara tiga lagi pesakit baharu adalah warga Thailand masing-masing tiba dari Jerman, Uzbekistan dan Filipina. Semua enam pesakit tidak bergejala," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Setakat ini, Thailand mencatatkan 3,410 kes COVID-19 dengan 58 kematian.

Sementara itu, Dr Sophon berkata pengusaha perniagaan dinasihatkan untuk menangguhkan pengambilan pekerja asing dari Myanmar untuk mencegah gelombang kedua pandemik itu.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Dalam Negeri Chatchai Phromlert berkata pegawai imigresen di 10 wilayah yang bersempadan dengan Myanmar iaitu Tak, Chiang Mai, Chiang Rai, Mae Hong Son, Kanchanaburi, Phetchaburi, Prachuap Khiri Khan, Ratchaburi, Chumphon dan Ranong sudah diminta mempertingkat kawalan keselamatan di sepanjang sempadan untuk mencegah kemasukan pekerja asing secara haram. – BERNAMA