--> Skip to main content

COVID-19: Parlimen Korea Selatan ditutup

SEOUL: Parlimen Korea Selatan ditutup hari ini dan sekumpulan penggubal undang-undang melaksanakan kuarantin kendiri, selepas negara itu merekodkan 400 kes jangkitan baharu COVID-19.

Persidangan terpaksa dihentikan selepas seorang wartawan yang bertugas semalam, disahkan positif COVID-19.

Wartawan itu disyaki mendapat jangkitan berkenaan selepas satu pertemuan pada hujung minggu lalu dengan seorang ahli keluarganya yang disahkan positif COVID-19.

Difahamkan, wartawan yang turut bertugas sebagai jurufoto itu dikesan mempunyai kontak dengan sekitar 50 orang dalam sidang Parlimen semalam.

Berita itu mendorong lebih daripada 10 pemimpin parti Demokrat menjalani saringan COVID-19 dan mengambil keputusan melakukan kuarantin kendiri.

Pihak berkuasa semalam turut mengadakan perbincangan berhubung perkara itu dan mengarahkan aktiviti Parlimen dihentikan buat sementara waktu, berkuat kuasa hari ini, serentak dengan itu bangunan Parlimen turut ditutup.

Dalam perkembangan berkaitan, mesyuarat membabitkan parti pembangkang turut dibatalkan serta merta.

Ini penutupan kali kedua Parlimen Korea Selatan, sebelum ini pada Februari, pihak berkuasa turut mengarahkan penangguhan, berikutan seorang individu yang hadir disahkan positif COVID-19.

Korea Selatan antara negara terawal di luar China yang terjejas teruk akibat COVID-19, bagaimanapun dengan usaha pengesanan dan saringan secara meluas, wabak itu berjaya dikawal.

Korea Selatan bagaimanapun kembali mencatatkan peningkatan kes, selepas muncul beberapa kluster baharu dengan kebanyakannya berkaitan dengan gereja Protestan.

Sebanyak 441 kes baharu yang direkodkan hari ini dan kebanyakannya membabitkan wilayah Seoul.

Kes COVID-19 harian di Korea Selatan meningkat kepada tiga angka selama dua minggu berturut-turut.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di negara itu mencecah 18,706 kes. - AFP