--> Skip to main content

COVID-19: Kes kematian di Brazil lepasi 120,000

RIO DE JANEIRO: Brazil melepasi angka 120,000 kes kematian akibat COVID-19 selepas kira-kira enam bulan merekodkan kes pertama, sekali gus menyaksikan krisis kesihatan di negara itu tiada pengakhiran.

Lebih tepat, negara dengan kepadatan penduduk 212 juta orang itu ketika ini merekodkan 120,262 kematian dan menjangkiti 3,846,153 orang, menurut Kementerian Kesihatan.

Brazil adalah negara kedua yang melepasi angka kematian 120,000 kes selepas Amerika Syarikat (AS) yang mana negara Uncle Sam itu merekodkan lebih 182,000 kes maut.

Tidak seperti Eropah dan Asia, dua benua yang teruk dilanda COVID-19 tetapi terkawal, penularan wabak di Brazil berkembang perlahan tetapi berterusan, kata seorang penyelidik di Institut Kesihatan Awam Fiocruz, Christovam Barcellos.

"Brazil adalah dunia yang unik. Sejak mula pandemik, lengkungnya berbeza berbanding negara lain. Jauh lebih perlahan.

"Ia telah stabil sekarang tetapi di tahap amat berbahaya dengan hampir 1,000 kematian dan 40,000 kes setiap hari dan Brazil masih belum mencapai kemuncak wabak," katanya kepada AFP.

Selain mencetuskan krisis kesihatan, COVID-19 juga memporak-porandakan politik di negara Latin terbesar itu.

Presiden Brazil, Jaur Bolsonaro meremehkan wabak itu dan menyerang gabenor serta datuk bandar yang mengenakan perintah berkurung dengan alasan ekonomi terjejas lebih teruk berbanding penyakit berkenaan.

Pemimpin sayap kanan itu sebaliknya menjadikan ubat hydroxychloroquine sebagai penyelesaian untuk krisis kesihatan walaupun terdapat kajian yang menunjukkan ia tidak berkesan merawat COVID-19.

Pada Sabtu, beliau sekali lagi menegaskan ubat kontroversi itu berkesan menyelamatkan nyawa ribuan mangsa di Brazil.

Bahkan, Bolsonaro turut mengambil ubat berkenaan yang digelarnya sebagai ubat 'sayap kanan' ketika beliau positif COVID-19 pada Julai lalu.

"Amat mengejutkan cara (Bolsonaro) mengendalikan situasi ini. Ia bukan berkait dengan penafiannya.... beliau selalu melangkaui batas dengan tidak menghormati mangsa," kata penganalisis politik dari Yayasan Gutelio Vargas, Michael Mohallem.

"Angka kematian tinggi yang mengejutkan. Saya rasa satu hari nanti beliau akan menanggung kesannya," katanya kepada AFP.

Sementara itu, wabak ini sudah merebak ke kumpulan demografi yang lebih rapuh dan ke kawasan pedalaman di Brazil.

Penduduk miskin di kawasan setinggan yang penuh sesak antara paling teruk menerima kesan.

Begitu juga dengan masyarakat Orang Asli di hutan hujan Amazon yang lemah terhadap pencegahan bahaya penyakit luar. - AFP