--> Skip to main content

COVID-19: Kerajaan arah 278 doktor kembali bekerja

SEOUL: Pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan mengarahkan 287 doktor yang melancarkan mogok bagi membantah pelan pembaharuan kesihatan negara itu supaya kembali bertugas.

Persatuan Perubatan Korea (KMA) yang mewakili lebih 130,000 doktor menghentikan tindakan mogok berkenaan semalam.

Bagaimanapun, terdapat pelatih dan doktor residen yang masih meneruskan tindakan mereka, malah, KMA berjanji untuk melancarkan mogok pada 7 September ini sekiranya kerajaan tidak menarik balik polisi baharu, termasuk pelan untuk menambah bilangan pelajar perubatan.

Kerajaan mengarahkan semua doktor di seluruh negara supaya kembali bertugas, selain memberi amaran bakal berdepan hukuman penjara terutama ketika negara itu sedang berdepan peningkatan kes COVID-19.

Ibu Pejabat Kawalan Penyakit Berjangkit, hari ini, melancarkan pemeriksaan di 10 hospital pelatih dan mengeluarkan arahan eksekutif kepada 278 doktor muda yang bertugas di bilik kecemasan dan unit rawatan rapi.

Persatuan Doktor Pelatih dan Residen Korea (KIRA) yang mewakili doktor pelatih memberitahu akan meneruskan mogok sekiranya kerajaan tidak menimbangkan semula pelan mereka.

Mereka yang tidak mengikuti arahan kerajaan tanpa alasan munasabah bakal berdepan tindakan lesen ditarik baik dan hukuman penjara kurang tiga tahun atau penjara minimum 30 juta won (AS$25,000).

Kerajaan berkata peratus doktor pelatih yang mogok berada pada kadar 75.8 peratus, manakala doktor sebanyak 35.9 peratus.

Tindakan mogok di klinik turut menyukarkan keadaan, namun tiada gangguan dilaporkan kerana angka mereka yang terbabit adalah rendah.

Sejumlah 2,141 klinik di negara itu, atau 6.4 peratus ditutup semalam. Angka itu kurang 33 peratus berbanding jumlah mogok pertama yang dilancarkan pada awal bulan ini.

Dalam usaha pelan pembaharuan tenaga kerja kesihatan negara itu, Menteri Kesihatannya merancang meluaskan kuota kemasukan sekolah perubatan kepada 4,000 dalam tempoh 10 tahun bermula 2022.

Selain itu, kerajaan juga akan membuka sekolah perubatan awam baharu bagi meluaskan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Ia akan meningkatkan jumlah pelajar yang diterima masuk ke sekolah perubatan kepada 3,458 bagi tempoh 2022-2031 berbanding 3,058, mengikut pelan itu. - BERNAMA