--> Skip to main content

COVID-19: Cegah gelombang tsunami lebih dahsyat - KP Kesihatan

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menyeru rakyat Malaysia mengambil iktibar daripada negara lain supaya dapat mencegah gelombang tsunami COVID-19 yang lebih dahsyat lagi.

Beliau sekali gus kongsikan perangkaan tiga negara, iaitu Australia, Hong Kong dan Jepun yang mengalami lonjakan drastik kes COVID-19 sejak Jun lalu, walaupun berjaya mencatat penurunan ketara sebelum itu.

Malah, gelombang kedua penularan di negara terbabit menyaksikan peningkatan kes yang lebih tinggi berbanding Mac lalu.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, beliau bimbang keadaan sedemikian akan melanda negara ini jika masyarakat mengabaikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Marilah kita belajar daripada negara lain supaya dapat mencegah daripada dilanda gelombang tsunami COVID-19 yang lebih dahsyat lagi.

"Inilah kebimbangan saya dan saya menyeru rakyat Malaysia untuk patuh kepada penjarakan selamat, kerap mencuci tangan dan memakai pelitup muka. Kurangkan berada di tempat awam dan duduk di rumah lebih selamat.

"Kita jaga kita, kita jaga keluarga kita. Kita jaga masyarakat dan negara kita," katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau, malam ini.

Dalam satu perkongsian lain pula, Dr Noor Hisham berkata, aplikasi MySejahtera mengendalikan pendaftaran 12 kali lebih daripada biasa, hari ini.

Sambil menjelaskan aplikasi itu kini mempunyai hampir sembilan juta pengguna, beliau berkata, aliran trafik MySejahtera meningkat selepas bantuan RM50 kredit ePENJANA diumumkan.

"Tahniah kepada admin sistem yang bekerja terus-menerus sepanjang cuti umum Hari Raya ini.

"Pendaftaran dilakukan secara sistematik agar perkhidmatan kepada sembilan juta pengguna ini tidak terganggu," katanya yang turut kongsikan proses pendaftaran MySejahtera.