--> Skip to main content

COVID-19: 14 kes baharu hari ini

PUTRAJAYA: Sebanyak 14 kes baharu COVID-19 dilaporkan, hari ini, termasuk satu kes import, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, pertambahan itu menjadikan bilangan kes positif COVID-19 di Malaysia kini mencecah 8,999, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula 210.

"Satu daripada jangkitan baharu itu adalah kes import membabitkan bukan warganegara dari Filipina.

"Semua 13 kes penularan tempatan pula adalah dalam kalangan rakyat Malaysia, membabitkan 11 daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga dan dua lagi dikesan di Sabah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Dr Noor Hisham berkata, dua kes positif dikesan di Sabah membabitkan saringan di Pintu Masuk Antarabangsa Laut Labuan.

Katanya, kes pertama membabitkan seorang pelajar tiba dari Sandakan, Sabah, untuk memulakan pengajian di Labuan, manakala kes kedua pula dari Penampang yang pergi ke Labuan untuk bercuti bersama keluarga.

Seterusnya, beliau berkata, dua kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan seorang memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, 17 pesakit dilaporkan pulih, hari ini, menjadikan jumlah kumulatifnya 8,664 kes (96.3 peratus), manakala tiada kematian baharu akibat COVID-19 dengan jumlah kumulatifnya kekal 125 kes (1.39 peratus).