--> Skip to main content

Colombia beri pinjaman pulih syarikat penerbangan Avianca

BOGOTA: Kerajaan Colombia mengumumkan pinjaman AS$370 juta (RM1.541 bilion) kepada syarikat penerbangan Avianca yang terjejas teruk disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Syarikat penerbangan kedua terbesar di Amerika Latin itu sedang menjalani penyusunan semula dan memfailkan perlindungan kebankrapan berdasarkan undang-undang di Amerika Syarikat (AS).

Kementerian Kewangan mengatakan pinjaman itu akan diberikan selepas Mahkamah Persekutuan AS di New York meluluskan kerajaan Colombia mengambil bahagian dalam penyusunan semula itu.

Kementerian mengatakan pinjaman itu ditawarkan kerana kemungkinan ekonomi Avianca di Colombia gagal sepenuhnya.

Dibebani hutang, Avianca memfailkan permohonan pada Mei lalu di mahkamah AS ketika syarikat itu berusaha menyusun semula tanggungjawab itu.

Akhir Mac lalu, Avianca menangguhkan semua penerbangannya dengan 142 pesawatnya tidak beroperasi berikutan sekatan yang dikenakan oleh kerajaan Bogota untuk menghentikan penyebaran COVID-19.

Presiden, Ivan Duque membenarkan beberapa pengecualian untuk penerbangan domestik, namun pada minggu ini beliau mengatakan lebih banyak penerbangan akan bermula pada September.

Avianca menyumbang sebanyak 1.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan tahun lalu, Avianca kehilangan hampir AS$900 juta (RM3.748 bilion) berbanding keuntungan AS$1.1 bilion (RM4.58 bilion) pada 2018.

Dalam pada itu, Avianca turut berharap dapat meneruskan penerbangan antarabangsa pada Oktober memandangkan sehingga kini seramai 12,000 daripada 20,000 pekerjanya sudah diberhentikan.

Wabak itu sudah meragut hampir 19,000 nyawa di Colombia. - AFP