--> Skip to main content

'Banyak cerita, luahan saya dengar' - PM

MAJLIS Tindakan Ekonomi (EAC) disaran mengambil langkah proaktif bagi membantu golongan miskin bandar, kelompok yang terkesan dan terpaksa bergelut dengan kesukaran kehidupan di bandar.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pelan tindakan holistik perlu disegerakan untuk menyantuni golongan miskin bandar.

Perkara berkenaan dibangkitkan dalam pramesyuarat EAC hari ini susulan lawatan serta tinjauan Perdana Menteri ke beberapa rumah penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, pada sebelah pagi.

Antara yang dilawati adalah dua warga emas berusia 78 tahun, Chan Kam dan B Danalachimi serta pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU), Rosali Md Nasid dan Artinie Besah.

Beliau turut singgah bersarapan di gerai Che Nah di medan selera dan beramah mesra dengan penduduk PPR di situ.

MUHYIDDIN ketika melawat gerai Che Nah di medan selera PPR Desa Rejang. FOTO Ihsan FB Muhyiddin Yassin. MUHYIDDIN ketika melawat gerai Che Nah di medan selera PPR Desa Rejang. FOTO Ihsan FB Muhyiddin Yassin.

"Banyak cerita dan luahan yang saya dengar daripada mereka. Lawatan ini banyak memberi maklumat kepada saya mengenai kehidupan warga kota atau golongan miskin bandar.

"Kebanyakan mereka berniaga kecil-kecilan, bekerja sebagai pemandu teksi dan lori serta ramai juga yang membuat kerja sendiri untuk meneruskan kehidupan mereka.

"Saya yakin, kesemua mereka menginginkan kehidupan lebih baik. Bagaimanapun, terdapat pelbagai kekangan yang terpaksa mereka lalui," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook (FB) miliknya.

Muhyiddin berkata, selepas mendengar luahan mereka, beliau percaya banyak lagi yang boleh dilakukan kerajaan serta agensi kerajaan dalam memastikan golongan ini terbela dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan sama ada dari aspek ekonomi, pendidikan atau sosial.

Antaranya menambah baik pusat komuniti setempat dengan aktiviti menambah kemahiran, keusahawanan dan memperkasakan pendidikan anak-anak mereka untuk menjamin kesejahteraan pada masa depan.

Muhyiddin berkata, beliau bangga kerana ramai rakyat yang rajin dan bersungguh-sungguh berusaha membina kehidupan lebih baik, selain ada antara mereka melakukan hingga tiga kerja sehari bagi menambah pendapatan keluarga.

"Ada yang memandu teksi dan Grab. Ada yang menghantar makanan. Ada juga membuat kerja sambilan di luar waktu bekerja mereka.

"Saya akan berusaha untuk memastikan mereka ini tidak dipinggirkan malah perlu lagi dibantu," katanya dalam kenyataan di Facebook (FB) milik beliau hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan sentiasa meletakkan agenda membantu rakyat sebagai keutamaan dan akan terus mencari pelbagai kaedah bagi membantu meningkatkan taraf hidup golongan ini.

"Sama-sama kita berusaha untuk membina Malaysia yang lebih baik," katanya.