--> Skip to main content

Cemas tengok tiga rakan ditimpa runtuhan

"SAYA tidak menyangka runtuhan itu mengorbankan nyawa dua rakan sekerja saya," kata kejadian, Korim Mordim.

Korim, 22, adalah rakan kepada dua pekerja kilang memproses makanan haiwan yang maut selepas ditimpa runtuhan lantai di Batu 22, Ijok, Kuala Selangor, hari ini.

Mayat Mohammad Rahim Md Kabir dan Hedayad Tullah Adu Karim berusia 20-an yang juga warga Myanmar ditemui serentak di dalam runtuhan terbabit pada 1.30 tengah hari.

Manakala seorang lagi mangsa, Habi Basyar Abul Nazal, 20-an, parah pada kepala.

Korim berkata, ketika kejadian dia baru habis menyelesaikan kerjanya di kilang itu sebelum dipanggil tiga mangsa terbabit.

"Mereka (mangsa) memanggil saya untuk membantu memunggah barang di dalam tempat penyimpanan.

"Semasa berjalan ke arah mereka, saya melihat lantai tingkat satu tiba-tiba runtuh dan menimpa mereka. Panik dengan keadaan itu, saya melarikan diri ke tempat selamat tanpa mengetahui status mereka," katanya ketika ditemui, hari ini.

Korim yang bekerja sejak sejak enam bulan lalu mengakui kejadian itu pertama kali berlaku dan tidak mampu melupakannya.

"Peristiwa ini akan saya ingati sampai bila-bila. Tidak sangka dua kawan saya sendiri terkorban dalam kejadian ngeri ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, operasi mencari dan menyelamat digerakkan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya.

"Apabila tiba di lokasi, didapati mangsa yang parah dikeluarkan manakala dua lagi mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan lantai.

"Anggota bertindak mengeluarkan mayat mangsa dari sisa runtuhan itu dan mereka meninggal dunia akibat kecederaan dalaman," katanya.

Norazam berkata, pihaknya dimaklumkan kilang itu dalam proses untuk berpindah ke lokasi baharu.

Beliau berkata, ketika kejadian, pekerja sedang melakukan kerja pemunggahan barang di tempat penyimpanan sebelum lantai tingkat satu kilang terbabit runtuh menimpa mereka.

Katanya, mangsa parah dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut sementara mayat dua mangsa lagi dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.