--> Skip to main content

Cari penawar kluster 'al-gharimin' sebelum terlambat

LEBIH kurang sebulan sahaja lagi, ihsan moratorium diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) kepada pelanggan industri perbankan dan kewangan seperti koperasi akan berakhir.

Ia bakal menyaksikan cabaran sebenar bagi pelanggan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Krisis COVID-19 nyata membawa impak negatif kepada aspek kesihatan, selain aktiviti ekonomi dalam sektor penting seperti kewangan, peruncitan, pembuatan, pembinaan, pelancongan dan perhotelan di seluruh dunia.

Ia turut menguji segenap anggota masyarakat termasuk agensi dan organisasi seperti institusi kesihatan, perbankan dan kewangan Islam, pusat zakat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam merealisasikan tanggungjawab kepada rakyat ketika berdepan saat getir ini.

Antara yang terjejas adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Tinjauan Jabatan Statistik Malaysia melaporkan 67.8 peratus syarikat PKS kehilangan pendapatan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan.

Banyak syarikat tidak dapat beroperasi seperti biasa, bahkan ada 'gulung tikar' sebaik PKP tamat, lantaran tidak mampu menampung kos operasi yang kian meningkat.

Seperti jangkaan, rentetan penutupan perniagaan, bilangan individu kehilangan pekerjaan turut meningkat mendadak.

Data Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melaporkan jumlah kehilangan pekerjaan di negara ini meningkat 42 peratus untuk suku pertama 2020.

SIP turut melaporkan banyak perniagaan terjejas sehingga mengalami penurunan permintaan 37 peratus atau tidak dapat beroperasi seperti biasa (42 peratus).

Berdasarkan satu kaji selidik, tiga daripada lima individu kehilangan sumber mata pencarian membabitkan belia bawah umur 40 tahun dan bekerja di sektor tidak formal. Bagi yang mengekalkan pekerjaan pula, berdepan kehilangan pendapatan 90 peratus dan tidak mempunyai simpanan cukup untuk meneruskan kelangsungan hidup.

BNM baru-baru ini mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merekodkan penguncupan 17.2 peratus pada suku kedua tahun ini, kesan penguatkuasaan PKP. Lantas, kemunculan kluster 'al-gharimin' COVID-19 tidak dapat dielakkan.

Golongan isi rumah terkesan akibat kehilangan pekerjaan dan penutupan perniagaan, kini dibebani komitmen melangsaikan hutang, menjelaskan bil tertunggak, selain menyara keperluan asas makan minum keluarga dan persekolahan anak.

Dari sudut istilah syarak, al-gharimin bermaksud golongan berhutang. Ia dikategorikan kepada tiga, iaitu mereka yang berhutang demi kemaslahatan sendiri, keluarga dan orang lain bagi memenuhi keperluan asasi seperti makanan, kesihatan dan perlindungan, menjamin orang yang berhutang dan mereka yang ditimpa bencana alam sehingga binasa harta benda.

Asnaf al-gharimin COVID-19 mungkin boleh diqiaskan mereka yang hilang sumber mata pencarian kesan malapetaka pandemik itu.

Jelasnya, golongan ini berdepan ujian getir kerana menanggung beban hutang sehingga sukar meneruskan kehidupan jika tiada bantuan dihulurkan.

Sehingga kini, tiada statistik menyeluruh berhubung jumlah sebenar isi rumah diklasifikasikan sebagai asnaf al-gharimin COVID-19. Namun, ia dijangka meningkat jika krisis pandemik berterusan.

Senario ini memberi impak kepada peningkatan kes keingkaran melunaskan hutang dengan pihak bank, bahkan bakal menjadi faktor penyumbang utama insiden muflis.

Bank juga bakal berdepan risiko pertambahan kes pinjaman tidak berbayar yang sekiranya dibiarkan, memberi pengaruh negatif kepada institusi.

Tekanan dirasai individu diisytihar muflis juga berkemungkinan memuncak sehingga boleh meruntuhkan kerukunan institusi kekeluargaan yang menjadi nadi pembinaan masyarakat harmoni.

Persoalannya, apakah langkah penyelesaian bagi meringankan beban kluster al-gharimin COVID-19?

Setakat ini, pemberian moratorium membolehkan golongan bekerja sendiri menarik nafas lega sementara waktu. Bagaimanapun, saat lebih mencabar menunggu menjelang Oktober nanti, selepas tempoh moratorium berakhir.

Sebagai langkah awal menangani risiko keingkaran membayar hutang, institusi perbankan giat menjalankan soal selidik secara tersasar bagi mengenal pasti kesediaan pelanggan membayar hutang selepas tempoh moratorium tamat.

Beberapa bank melaporkan, sebahagian pelanggan kini kembali membayar hutang meskipun tempoh moratorium belum berakhir.

Kelegaan turut dirasai mereka terjejas sumber pendapatan berikutan pengumuman kesediaan institusi perbankan memberikan kelonggaran dengan melanjutkan tempoh bayaran hutang tiga bulan bermula Oktober hingga Disember.

Pendekatan diambil bank dengan menilai setiap permohonan berdasarkan keperluan setiap kes.

Langkah ini, memberi ruang kepada individu atau syarikat terkesan untuk bangkit kembali selepas mendapat pekerjaan baharu atau kembali membuka perniagaan.

Kerajaan juga pantas mengurangkan impak ke atas ekonomi dengan mengumumkan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi berjumlah RM295 bilion.

Ia untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dengan pelbagai insentif meringankan beban segenap lapisan masyarakat.

Institusi zakat antara agensi memainkan peranan penting menghulurkan bantuan segera kepada golongan isi rumah terjejas ketika negara berdepan ancaman COVID-19.

Sebagai institusi menunjangi sektor 'ijtimai' atau sosial dalam sistem ekonomi, Islam menggariskan asnaf al-gharimin secara khusus sebagai penerima agihan zakat, selain asnaf fakir dan miskin.

Tiada dalam jangkauan pemikiran kita aspek sosioekonomi abad ke-21 boleh tergugat dalam usaha memerangi wabak, tatkala aspek penjagaan kesihatan dan pembangunan teknologi dan ekonomi berada di puncak.

Justeru, fungsi zakat sebagai institusi dalam sektor ketiga bagi mewujudkan jaringan keselamatan sosial terus diperkasa supaya kekal relevan dalam usaha menangani krisis.

Fungsi ini wajar digalas bersama syarikat korporat yang membayar zakat termasuk institusi perbankan Islam.

Satu mekanisme strategik perlu dibentuk bagi membantu asnaf al-gharimin COVID-19.

Antaranya mewujudkan dana khusus secara berpusat sama ada di BNM atau pusat zakat bagi membolehkan golongan ini melangsaikan hutang di institusi perbankan dan kewangan Islam.

Bagi memastikan kelestarian peniaga atau individu kehilangan pekerjaan, institusi perbankan Islam diharap tampil memberikan suntikan modal kepada golongan ini untuk bangkit semula menerusi skim pembiayaan mesra dan tidak membebankan.

Tuntasnya, pendekatan holistik secara bersepadu wajar diketengahkan untuk menangani isu ini secara penuh hikmah dan bijaksana membabitkan kolaborasi pelbagai pihak.

Usaha murni merealisasikan tanggungjawab sosial ini selari agenda perantaraan berasaskan nilai (VBI), yang didukung semua institusi perbankan Islam bagi mencapai maqasid syariah dalam aspek amalan, pengurusan dan penawaran produk ke arah menjana impak positif serta lestari kepada ekonomi dan komuniti.

Pada saat getir ini ruang kerjasama antara institusi perbankan Islam dan zakat wajar dipertingkat demi mencari penawar mujarab menangani kluster al-gharimin COVID-19.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)