--> Skip to main content

Cari jalan 'halalkan' tanah haram

KERAJAAN Pahang akan melakukan pemutihan tanah haram di seluruh negeri demi memacu kegemilangan negeri ini khususnya dari sudut pembangunan ekonomi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, isu penerokaan tanah secara haram di negeri ini bukan perkara baharu sebaliknya berlaku sejak sekian lama menyebabkan banyak ketirisan hasil negeri.

"Kerajaan Pahang sedang mencari penyelesaian terbaik bagi 'menghalalkan' tanah haram yang diteroka di seluruh negeri ini.

"Langkah itu perlu demi memastikan situasi menang-menang dapat diperoleh bukan sahaja dalam kalangan peneroka tanah, lebih penting hasil kepada kerajaan negeri.

"Saya berikan contoh, sebelum ini selama 30 tahun tanah kerajaan negeri diteroka secara haram untuk penanaman kelapa sawit, dalam tempoh berkenaan, satu sen pun tidak bayar kepada kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan merampas atau mengambil alih tanah itu, malah ia masih diusahakan sehingga kini oleh pihak yang meneroka.

"Apa yang kerajaan negeri mungkin akan lakukan adalah meletakkan beberapa syarat seperti pihak terbabit (pencerobohan) perlu membayar denda, kemudian meminta mereka menjelaskan premium, sewaan atau pemilikan sementara tanah, membayar cukai dan mengutip hasil tahunan," katanya.