--> Skip to main content

Bunuh suami teman wanita, lelaki dihukum gantung

MAHKAMAH Tinggi Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang lelaki warga Nepal selepas didapati bersalah mencederakan sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu lori yang juga rakan senegara, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Radzi Harun menjatuhkan hukuman itu ke atas Suruj Dev Sah Teli, 36, selepas mendapati tiada keraguan munasabah ditimbulkan pada akhir kes pembelaan.

Katanya, penelitian dan penilaian maksimum sudah dibuat terhadap keterangan semua 18 saksi pendakwaan, dua saksi pembelaan serta melihat semula 65 eksibit barang-barang kes sepanjang perbicaraan berlangsung sebelum ini.

Dalam penghakimannya, Mohd Radzi juga menyatakan rasa puas hati terhadap pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan semua inti pati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bahawa kematian Harithas Raman, 34, adalah akibat perbuatan tertuduh.

Semasa hakim membaca penghakimannya, Suruj Dev yang berada di dalam kandang tertuduh kelihatan gelisah dan sering melihat ke arah jurubahasa mahkamah di sebelahnya untuk mengetahui maksud penghakiman.

Sebaik mendapat tahu keputusan, Suruj Dev yang juga bekas pekerja kilang kelapa sawit di Hutan Melintang, kelihatan sugul dan menundukkan kepala.

Mengikut pertuduhan, Suruj Dev didakwa menyebabkan kematian Harithas, di sebuah rumah di Kampung Mutiara Batu 10, Hutan Melintang antara jam 1.30 hingga 4.05 pagi, pada 2 Disember 2016.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainul Wardah Shahidan manakala tertuduh diwakili peguam daripada Kedutaan Nepal, Datin Kharen Jitkaur.

Kematian Harithas dilaporkan media pada 6 Disember 2016, yang antara lain menyebut seorang wanita bersekongkol dengan kekasih iaitu seorang lelaki warga Nepal untuk membunuh suaminya di rumah mereka di Hutan Melintang, Bagan Datuk.