--> Skip to main content

Bukit Aman ambil keterangan Khairuddin petang ini

KUALA LUMPUR: Bukit Aman akan mengambil keterangan daripada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, petang ini bagi membantu siasatan kes melanggar arahan kuarantin wajib selepas beliau pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Proses mengambil keterangan itu sebelum ini dijadualkan di Bukit Aman petang semalam, tetapi kemudian dikatakan ditukar ke lokasi baharu di Parlimen.

Bagaimanapun proses berkenaan yang sepatutnya berlangsung petang semalam di Parlimen, kemudian ditangguhkan pula ke petang ini.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, ketika dihubungi BH, memaklumkan Khairuddin akan hadir ke Bukit Aman, petang ini.

"Keterangan beliau belum diambil semalam, beliau akan datang ke Bukit Aman petang ini, selepas Asar," katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis mahu merakam keterangan Khairuddin bagi membantu siasatan berhubung kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari luar negara.

Ahad lalu, BH melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Khairuddin kerana gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah susulan 27 laporan polis yang diterima di seluruh negara berhubung perkara itu.

Kementerian Kesihatan dilaporkan menyerahkan kertas siasatan dalaman pihaknya berhubung isu pelanggaran kuarantin oleh Khairuddin kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mohd Khairuddin turut dikompaun oleh kementerian sebanyak RM1,000 atas kesalahan itu.