--> Skip to main content

Bukan mudah batal lesen niaga - Exco

KERAJAAN negeri terpaksa melakukan pindaan Akta Kerajaan Tempatan untuk menghentikan pengeluaran lesen perniagaan kepada rakyat tempatan yang berkahwin dengan warga asing.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya tidak meluluskan lesen niaga kepada warga asing.

Beliau berkata, masalah utama dihadapi adalah kesukaran bertindak membatalkan lesen dikeluarkan kepada warga tempatan yang berkahwin dengan warga asing.

"Kita hanya meluluskan permohonan lesen niaga hanya kepada warga tempatan dan kita tidak boleh mengambil sebarang tindakan dan membatalkan lesen dengan alasan pemohon berkahwin dengan warga asing," katanya selepas merasmikan Projek Penswastaan Lembaga Tabung Amanah Warisan negeri (LTAWNT) dengan Tetuan Dacing Sempurna Housing Sdn Bhd, untuk pembangunan bercampur Alam Mutiara Fasa 1, di Mukim Pengadang Buluh, Kampung Laut, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok serta Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah dan Adun Bandar, Ahmad Shah Muhamed.

Dr Alias yang juga Adun Bukit Tunggal berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Majlis Bertindak Gabungan NGO, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah, yang menggesa kerajaan menghentikan pemberian lesen niaga kepada rakyat tempatan yang berkahwin dengan warga asing.

Mohd Ridzuan dilaporkan berkata, kebanyakan PBT memberi alasan peniaga warga asing mempunyai lesen perniagaan menggunakan kapasiti isteri atau suami sebagai rakyat tempatan.