--> Skip to main content

Buka semula sempadan negara agenda terakhir

PUTRAJAYA: Pembukaan semula sempadan negara kepada pelancong asing adalah agenda terakhir yang akan dilaksanakan kerajaan ketika negara bergelut dengan penularan pandemik COVID-19.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ketika ini sempadan negara hanya dibuka untuk rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura selama tiga bulan selain urusan perniagaan.

Katanya, kerajaan kedua-dua negara juga masih berbincang mengenai isu kira-kira 250,000 rakyat Malaysia yang perlu berulang alik ke Singapura untuk bekerja.

"Setakat ini tiada negara yang boleh dianggap zon hijau. Kita nak membuat hubungan perjalanan pelancongan bagi negara berstatus zon hijau seperti New Zealand, Australia, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Brunei.

"Tetapi Korea Selatan melaksanakan semula perintah perintah berkurung.

"Saya percaya yang terakhir akan dibuka ialah sempadan negara kepada pelancong asing," katanya pada sidang media selepas Majlis Graduasi Kursus Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) siri 40/2020, di PUSPAHANAS, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Panglima Tentera Laut, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany; Panglima Tentera Udara, Tan Sri Ackbal Abdul Samad, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, kerajaan juga menghentikan sementara perbincangan dengan dua negara jiran, Thailand dan Indonesia, membabitkan kebenaran untuk tukang masak dan pembantu rumah memasuki negara ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, pihaknya ada menerima permohonan daripada pelbagai pihak termasuk syarikat penerbangan untuk melonggarkan kawalan sempadan negara, namun kerajaan tidak akan benarkan.

Beliau diminta mengulas gesaan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes supaya pemimpin ASEAN yang berstatus hijau menimbang pembukaan semula sempadan negara bagi rantau berkenaan.