--> Skip to main content

Buat laporan palsu elak didenda

ANGKARA tidak mahu didenda kerana kehilangan MyKad, seorang penghantar makanan sanggup membuat laporan palsu kononnya diragut.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, laporan dibuat lelaki berusia 21 tahun itu pada 12.03 tengah malam semalam.

"Dia mendakwa dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal bertanya arah jalan dan meragut beg silang miliknya.

"Namun, ketika soal siasat didapati keterangan pengadu menimbulkan beberapa keraguan.

"Hasil siasatan lanjut, dia mengaku membuat laporan polis palsu mengenai kejadian itu disebabkan MyKad miliknya hilang ketika membuat penghantaran makanan kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zairulnizam berkata, lelaki itu memerlukan laporan polis untuk diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengelak dikenakan denda.

Berikutan itu, katanya, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, pihaknya merekodkan peningkatan kes laporan palsu iaitu pada Januari sehingga semalam, sebanyak 13 kes dan tujuh dituduh di mahkamah berbanding empat kes dan dua dituduh di mahkamah pada tahun lalu.

Beliau memberi amaran kepada orang awam supaya tidak membuat laporan palsu dan tindakan undang-undang akan diambil bagi mereka yang melakukan jenayah itu.