--> Skip to main content

Brunei tangguh caj keluar masuk negara hingga 1 Oktober

LAWAS: Kerajaan Brunei Darussalam menangguhkan pelaksanaan caj keluar dan masuk ke negara itu hingga 1 Oktober depan susulan permintaan daripada Kerajaan Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, ketika memaklumkan perkara itu berkata beliau telah mengutus surat kepada Kerajaan Brunei, baru-baru ini, bagi meminta penangguhan pelaksanaan caj berkenaan yang sepatutnya bermula hari ini.

"Saya telah memohon Kerajaan Brunei Darussalam membincangkannya secara mendalam dan mengambil kira perkara tertentu (dalam melaksanakan caj itu).

"Kita amat menghargai dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Brunei Darussalam kerana telah menangguhkan bayaran keluar masuk ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan daging korban sempena sambutan Aidiladha di pekarangan Masjid Lawas, di sini, hari ini.

Pada 9 Julai lalu, Brunei mengumumkan akan mengenakan caj B$3 (kira-kira RM9.10) ke atas setiap individu yang keluar masuk negara itu melalui pos kawalan sempadan daratnya, bermula hari ini.

Kementerian Kewangan dan Ekonomi Brunei dalam satu kenyataan menyebut, caj terbabit dikuatkuasakan bawah Perintah Bayaran-Bayaran Keluar dan Masuk 2020 yang memberi kuasa kepada Pengawal Kastam dan Eksais Diraja negara itu untuk berbuat demikian. – BERNAMA