--> Skip to main content

Bottas atasi Hamilton latihan bebas GP Belgium

SPA-FRANCORCHAMPS, Belgium: Valtteri Bottas mengatasi rakan sepasukan yang juga pendahulu kejuaraan, Lewis Hamilton untuk Mercedes mengungguli latihan bebas menjelang Grand Prix (GP) Belgium, di sini, hujung minggu ini.

Pada sambutan hari lahir ke-31, pelumba dari Finland itu meneruskan pencapaian muncul pelumba terpantas pada sesi pertama untuk kali ketiga berturut-turut apabila mencatat satu minit 44.493 saat untuk berkelebihan 0.069 saat di hadapan juara enam kali itu.

Max Verstappen pula ketinggalan 0.081 saat untuk kedudukan ketiga buat Red Bull di hadapan pelumba Racing Points, Sergio Perez dan Lance Stroll, diikuti seorang lagi pelumba Red Bull, Alex Albon di tempat keenam.

Juara tahun lalu, Charles LeClerc dan rakan sepasukannya di Ferrari, Sebastian Vettel gagal menyerlah apabila berada pada kedudukan ke-14 dan ke-15.

Verstappen paling pantas pada sesi awal dengan pelumba dari Belanda itu menunjukkan potensi jentera Red Bull di litar Ardennes sebelum Mercedes menunjukkan kehebatan mereka dan Hamilton beroleh kedudukan pertama.

Dia kemudiannya dipintas oleh Albon namun 'Black Arrows' tidak mengalah apabila Bottas berjaya mengatasi Albon dan juga juara dunia itu.

Ferrari pula berdepan hari mengecewakan apabila enjin mereka turut bergelut yang menyaksikan dua pelumba Haas, Romain Grosjean dan Kevin Magnussen berdepan masalah unit kuasa dan gagal mencatat masa bersama pelumba Alfa Romeo, Antonio Giovinazzi.

- AFP