--> Skip to main content

Boleh dengar suara dari alam lain dengan izin Allah - Mufti Pahang

"SEKIRANYA seseorang itu boleh mendengar (suara dari alam lain), kemungkinan ia adalah anugerah daripada Allah SWT."

Demikian kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman ketika diminta mengulas rakaman video dimuat naik seorang wanita yang tular sejak kelmarin kerana didakwa terdapat suara misteri seperti merayu dan meminta tolong dari dalam kubur.

Abdul Rahman berkata, umat Islam tidak wajib untuk mempercayai kebenaran video berkenaan kerana tiada bukti menunjukkan kesahihannya.

"Namun, tidak mustahil untuk seseorang itu mendengar jika diizinkan Allah SWT. Seksa kubur itu benar dan berdasarkan satu hadis ada dinyatakan orang beriman akan memohon disegerakan urusan pengebumian mereka.

"Manakala, sebaliknya bagi yang kufur dan rayuan si mati sebelum dikebumikan boleh didengari makhluk lain seperti haiwan kecuali manusia.

"Ini kerana manusia akan ketakutan dan pengsan jika mendengarnya. Apa yang pasti, semuanya berlaku dengan izin Allah," katanya ketika dihubungi Harian Metro di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas mengenai video dirakam ibu tiga anak, Siti Natrah Ismail apabila kedengaran suara misteri seperti merayu dan meraung meminta tolong di dalam rakaman berkenaan.

Ketika itu, Siti Natrah duduk di atas jengkaut di Tanah Perkuburan Islam Sireh, Pelabuhan Klang, Selangor dan video berkenaan tular di media sosial.

Abdul Rahman berkata, tidak menjadi kesalahan untuk berkongsi video seumpama itu jika niatnya untuk memberi keinsafan sesama insan.

"Kalau yang didengar itu boleh beri keinsafan tiada masalah, malah ia bagus kerana boleh mengingatkan orang tentang mati.

"Lagipun, kita memang dituntut untuk sentiasa mengingati kematian," katanya.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad ketika dihubungi berkata, perkongsian video seumpama itu tidak wajar kerana apa yang dilihat atau didengar perlu disimpan untuk diri sendiri bagi mengelak timbul fitnah.

"Azab kubur itu benar dan sesiapa pun boleh mendengarnya dengan izin Allah SWT.

"Cuma, adalah lebih baik jika apa didengar atau mimpi yang kita dapat misalnya, disimpan untuk diri sendiri.

"Jika ia membawa petanda buruk, berdoa kepada Allah SWT semoga dijauhkan. Apa pun, ambil apa yang berlaku sebagai iktibar dan pengajaran buat kita semua," katanya.

Berita berkaitan

• 'Suara misteri di tanah perkuburan dalam video bukan suntingan' [METROTV]