--> Skip to main content

BN gesa mandat baharu bentuk kerajaan

SLIM RIVER: Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai pilihan lain selain perlu mendapat mandat baharu rakyat dengan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat bagi membentuk sebuah kerajaan yang lebih kukuh.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sokongan hanya 113 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat meletakkan kedudukan PN tidak stabil serta terus dijaja sebagai kerajaan pintu belakang dan tebuk atap oleh pembangkang.

"Kita tidak ada pilihan melainkan memperoleh mandat baharu dari rakyat untuk elakkan tuduhan berterusan. Maka kerajaan sekarang mesti mengembalikan hak memilih kerajaan dan kuasa rakyat mesti dikembalikan supaya rakyat boleh memilih semula.

"Maka untuk memilih semula, PRU Ke-15, jangkaan saya akan diadakan dalam waktu terdekat," katanya berucap pada ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Dewan Seri Sungkai, Pekan Lama Sungkai, malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, biarpun UMNO tidak menyertai PN, namun parti itu masih mendukung gabungan berkenaan sebagai kerajaan.

"Apabila BN tidak menyertai PN ertinya bukan kita tak sokong, cuma parti tak sertai PN sebagai sebuah parti gabungan politik. Ini cukup jelas dan ini keputusan parti.

"Tapi kita hargai komitmen 12 parti politik yang ada di bawah bumbung PN. Terdapat 12 parti, walaupun secara formal kita bukan menjadi anggota pada PN, yang penting semangat, roh Muafakat Nasional yang menjadi asas besar kepada kestabilan politik boleh terus membawa kestabilan politik," katanya.

Menyentuh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Ahmad Zahid optimis perundingan yang sedang berjalan ketika ini mampu menghasilkan kesepakatan dengan semua parti setuju untuk bersama dalam satu gabungan.

"Sudah ada kesepakatan dalam kalangan kita di mana di Sabah tidak ada Muafakat Nasional, tidak ada muafakat Sabah, tetapi perundingan sudah dilakukan iaitu pertama kita sedaya mungkin mesti mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

"UMNO dan PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) bawah calon UMNO dan BN di Sabah akan gunakan lambang BN dalam PRN, manakala parti lain terpulang pada mereka, walau ada cadangan guna lambang PN yang belum dilancarkan. Itu kita hormati," katanya.