--> Skip to main content

Bertekak kerana 'terkeliru'

SESI perbahasan sebelah petang di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini diteruskan dengan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang terus bergasak sesama sendiri.

Ia bermula apabila RSN Rayer (DAP-Jelutong) bangun untuk membaca peraturan dewan mengenai kenyataan yang didakwanya mengelirukan ketika Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) membahas Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) 2020.

Ketika itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mendakwa Rayer terkeliru mengenai isu kejatuhan harga sawit ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Datuk Azhar Azizan Harun (Speaker): Part (bahagian) mana yang mengelirukan tu?

Azeez: Jelutong yang terkeliru

Rayer: Duduklah Baling, kamu pencuri orang tau

Azeez: Bapa awak punya duit ke saya curi? Cakaplah, kalau bapa awak punya duit saya curi, awak cakap sekarang. Ada saya curi duit bapa awak?

Rayer: Duduklah

Datuk Azhar Azizan Harun: YB, YB Sila duduk. Yang mana yang mengelirukan tu

Rayer: Kenyataan Arau yang mengatakan harga sawit jatuh ketika PH memerintah, itu adalah mengelirukan dewan. Ketika itu menteri-menteri di sebelah sini, duduk di sebelah sana. Tanya Gombak. Tanya Ampang

Datuk Azhar Azizan Harun: Boleh saya cakap. Saya rasa apa yang disebutkan Arau itu bahawa harga sawit jatuh, memang jatuh dan ketika itu PH menjadi kerajaan. Itu soal interpretasilah. Silakan YB Arau, teruskan.

Perbahasan kemudiannya diteruskan dengan beberapa Ahli Parlimen meneruskan giliran mereka berbahas.

Sebelum itu, pada sebelah pagi, Timbalan Speaker Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan terdapat 18 Ahli Parlimen akan mengambil giliran untuk berbahas mengenai RUU berkenaan.