--> Skip to main content

Bersih masjid sambut Merdeka

PELBAGAI cara meraikan bulan kemerdekaan namun berbeza dengan penuntut Politeknik Port Dickson yang memilih aktiviti bergotong royong membersihkan masjid sempena bulan kemerdekaan.

Pengarah program, Muhammad Shafiq Abdul Rahman, 20, berkata, program ini bagi menyemai semangat patriotisme dan amalan gotong-royong yang menjadi tunjang perpaduan masyarakat yang dilakukan bagi membentuk semangat kemerdekaan.

Katanya, seramai 35 pelajar dan enam pensyarah daripada Politeknik Port Dickson membabitkan Kelab Sekretariat Rakan Muda, Kelab Rakan Pusat Islam, Persatuan Silat Cekak Pusaka Hanafi dan Kelab Enactus.

"Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini sebagai penyediaan sebelum menyambut Hari Kebangsaan di Masjid Kariah Teluk Kemang, Port Dickson anjuran bersama pihak Masjid Kariah Teluk Kemang dengan kerjasama daripada Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Southern Waste Management (SWM).

"Antara objektif program ini ialah pelajar lebih terdedah kepada pergaulan bersama masyarakat dan dapat menerapkan semangat cinta akan negara dengan membuat persediaan menyambut hari kemerdekaan yang bakal tiba tidak lama lagi biarpun terpaksa mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang program berlangsung," katanya ketika ditemui semalam.

Muhammad Shafiq berkata, sebelum program berlangsung, pihak masjid memberikan penerangan umum berkaitan SOP bagi mencegah penularan Covid-19.

"Antara perkara yang dititik beratkan ialah penjarakan sosial antara satu sama lain dan semua peserta diwajibkan untuk memakai pelitup muka sepanjang program berlangsung.

"Aktiviti yang dijalankan antaranya ialah mengecat semula kawasan masjid, menghias persekitaran dan memasang bendera di pagar masjid sempena Bulan Kemerdekaan," katanya.