--> Skip to main content

Bersemangat habiskan misi 'mencari hati emas'

SUNGAI BESAR: Misi Kayuhan Solo Amal 2020 'Mencari Hati Emas' oleh Jurulatih Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah (ABPM), Kuala Kubu, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, ke 63 balai bomba di seluruh Semenanjung sejak 6 Ogos lalu, semakin sampai ke penghujungnya.

Mohd Fakhrul, 38, yang dijangka menamatkan misi di Putrajaya pada 31 Ogos ini, berdepan pelbagai cabaran cuaca panas, angin lintang dan hujan sebelum tiba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar selepas mengayuh lebih dua minggu.

Ketibaan Mohd Fakhrul disambut Ketua BBP Sungai Besar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Khuzaimey Ibrahim dan anggota bomba.

Mohd Fakhrul berkata, dia sebelum itu melawat BBP Hutan Melintang, Perak dan BBP Sabak Bernam sebelum menuju ke BBP Sungai Besar untuk bermalam.

"Insya-Allah, esok saya akan memulakan semula perjalanan dan akan melawat BBP Sekinchan, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Kapar dan seterusnya ke BBP Bukit Jelutong, Shah Alam.

"Saya difahamkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan menyambut saya di sana (BBP Bukit Jelutong) esok," katanya ketika di sini, hari ini.

Anak kelahiran Sik, Kedah berkata, dia yang mengayuh dari Pantai Remis, Perak mengalami beberapa kesukaran seperti angin lintang laut dan cuaca panas.

"Alhamdulilah, kesukaran itu berjaya dihadapi dan pasukan pengiring sentiasa bersama saya semasa kayuhan berlangsung," katanya.

Katanya, setiap hari dia mengayuh secara purata antara 100 hingga 150 kilometer (KM) dan bermalam di setiap BBP di setiap negeri.

"Pengalaman bertugas selama 15 tahun selain pernah menyertai ekspedisi mendaki gunung termasuk di luar negara banyak membantu menjayakan kayuhan amal ini hingga ke garisan penamat.

"Selepas ini, saya akan menghabiskan kayuhan ini dan lokasi terakhir adalah di Putrajaya pada 31 Ogos ini," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Fakhrul memulakan perjalanan dari Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah sejak 6 Ogos lalu.

Dia melakukan kayuhan solo bagi mengutip dana untuk membantu anggota bomba yang terbabit kemalangan atau terkorban ketika bertugas.