--> Skip to main content

Berat badan Mohd Zaidi turun 9kg sepanjang kempen - Bapa

"BERAT badan anak saya dah turun sembilan kilogram selepas mengharungi tempoh kempen yang lama tanpa mengira siang mahu pun malam.

"Saya yakin dengan anak saya itu, dia seorang penyabar dan saya mendoakannya agar dapat menjalankan tugas sebagai wakil rakyat," kata Aziz Nordin, 80, bapa kepada Mohd Zaidi, 44, yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim semalam.

Aziz berkata, beliau berharap anaknya, Mohd Zaidi tidak lupa diri dan asal usul daripada keluarga yang susah dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat.

"Sepanjang kempen yang lalu, saya hanya berada di rumah sambil mendoakan agar urusan anak saya dipermudahkan.

"Alhamdulillah dan syukur dengan berkat doa dan usaha yang dilakukan anak (Mohd Zaidi) membuahkan kejayaan untuk rakyat di kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama Mohd Zaidi, menantunya, Juliana Sarip, 44, cucu, Maryam T Hani, 5, dan anaknya, Anuar Aziz, 37, di Pasar Awam Slim River, pagi ini.

Beliau berkata, kejayaan anaknya itu juga hasil daripada kerjasama dan semangat Muafakat Nasional (MN) antara PAS-UMNO dan pihak lain yang turut membantu merealisasikan kejayaan itu.

"Orang berbudi, kita berbahasa... jadi buatlah kerja elok-elok dan jangan lupa pada rakyat yang mengundi sehingga menjadi wakil rakyat," katanya.

PRK kali ini Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi dengan majoriti 10,945 undi.

Mohd Zaidi, 43, meraih 13,060 undi, mengatasi dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dan S Santharasekaran, 44, masing-masing memperoleh 2,115 dan 276 undi.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandang, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

PRK DUN Slim ialah pilihan raya kedua berlangsung dalam norma baharu, susulan wabak Covid-19 selepas PRK DUN Chini bulan lalu.