--> Skip to main content

Beranikan diri tangkap ular sawa

ALOR GAJAH: Seorang penternak ayam kampung sanggup menanggung risiko apabila bertindak menangkap sendiri ular sawa yang memakan ayamnya.

Mohd Zaki Ibrahim, 36, nekad menangkap reptilia sepanjang tiga meter dan seberat kira-kira 40 kilogram (kg) itu di Kampung Londang di sini selepas dipercayai menelan ayam jantan baka miliknya.

"Saya baru memasukkan 10 ekor ayam kampung betina dan seekor ayam jantan baka dalam reban tiga hari lalu, tetapi hari ini saya dikejutkan dengan kejadian ular sawa menelannya.

"Selama ini saya tidak pernah menangkap ular tetapi memberanikan diri dengan mencekik pangkal kepala ular sawa sebelum mengikatnya dengan tali," katanya kepada pemberita, hari ini.

Bimbang ular berkenaan terlepas dan mencederakannya, Mohd Zaki meminta pertolongan rakannya Izani Baharin, 21, untuk membantu menangkap haiwan itu.

Selepas mengeluarkan ular berkenaan dari dalam reban ayamnya, Mohd Zaki memutuskan untuk melepaskan semula ular berkenaan di kawasan hutan di Bukit Tinggi, kira-kira tujuh kilometer rumahnya.