--> Skip to main content

Belia perlu pendedahan kepemimpinan komuniti

Pada Julai lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan program Felo Perdana 2020.

Seiring tema sambutan Hari Belia 2020 - 'Dekad Ini, Dekad Anda' - program ini dilihat mampu memberi peluang kepada belia dan beliawanis mempelajari urus tadbir negara serta memanfaatkan pengalaman dalam memberi idea dan pandangan untuk bersama-sama meningkatkan kemajuan negara dalam pelbagai aspek seperti politik, ekonomi dan sosial.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, dalam ucapannya sebelum ini menyatakan Malaysia perlu menampilkan calon baharu untuk penuhi cita rasa semasa.

Apa dapat kita hayati, penyertaan orang muda atau belia sememangnya penting dalam merangka kemajuan Malaysia melalui perkongsian idea, khususnya bagi meningkatkan sistem pemerintahan negara.

Menerusi penyertaan orang muda dalam hal berkaitan kepemimpinan, sedikit sebanyak menarik minat golongan lebih muda untuk menceburkan diri dalam bidang pentadbiran dan pengurusan hal ehwal negara pada masa hadapan.

Program Felo Perdana dilancarkan KBS contohnya banyak mendedahkan peserta. Mereka diberi peluang ke Parlimen bersama pegawai KBS, mengikuti Menteri Pendidikan membuat lawatan rasmi ke sekolah, menghadiri mesyuarat bersama Pentadbir Tertinggi Kementerian Pendidikan serta menyertai program bersama pemimpin lain.

Saya percaya dalam konteks Industri Kreatif 4.0, kelihatan banyak negara menonjolkan pemimpin mereka pada usia muda kerana mereka tahu kualiti kepemimpinan itu tidak dapat diukur dengan umur dan pengalaman sepenuhnya, tetapi juga kematangan cara berfikir dalam memimpin masyarakat dan negara.

Kini, di universiti pemimpin muda berjaya dilahirkan menerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Walaupun sibuk dengan tugasan akademik, peperiksaan serta aktiviti di kampus, mereka memperlihatkan kecemerlangan dalam kepemimpinan.

Melalui karakter ditunjukkan pada usia muda, mereka bukan sahaja dapat menyerlahkan bakat kepada pengurusan tertinggi universiti, malah pandangan bernas dan perkongsian buah fikiran mereka mampu memajukan universiti dan negara.

Ini menunjukkan pendedahan dan peluang diberikan kepada orang muda untuk mempelajari urus tadbir negara memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam membina pemimpin pelapis.

Seterusnya, kita perlu melihat peranan pemimpin muda pada masa sekarang. Selain mempelajari lebih mendalam mengenai urus tadbir negara, mereka juga perlu diberi percubaan mencebur diri dalam pelbagai program dan aktiviti bersifat komuniti.

Semakin banyak mereka didedahkan dalam program sebegini, semakin banyak kemahiran baharu yang bersesuaian dengan aspek kepemimpinan yang mereka akan pelajari.

Banyak program dan aktiviti disediakan kerajaan, universiti dan sekolah dalam meningkatkan jati diri orang muda. Secara tidak langsung, ia mampu meningkatkan keyakinan untuk berhadapan komuniti yang lebih ramai apabila bergelar pemimpin kelak.

Kita percaya jika lebih banyak program berbentuk kepemimpinan dilaksanakan pada peringkat lebih awal, maka lebih ramai lagi pemimpin muda akan dilahirkan negara.

Orang muda pada masa kini bukan lagi seperti orang muda puluhan tahun dahulu, di mana segala kerja hanya diarahkan satu golongan yang lebih berusia. Namun, orang muda sekarang sangat kreatif dan dapat melangkah maju ke hadapan seiring golongan pertengahan dan berusia.

Jadi semua masyarakat perlu memberi sokongan sepenuhnya kepada mereka untuk bersama-sama dalam mencorak masa depan negara.

Akhir kata, keunikan Malaysia akan tercapai jika adanya idea bernas daripada orang muda untuk mentadbir negara didengari.

Kita yakin pelbagai idea orang muda mencerminkan kesungguhan mereka untuk menjadi pemimpin muda yang disegani dan mampu menjadikan Malaysia sebagai negara yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara maju lain.

Nur Azam Ghazali,Felo Perdana Kementerian Pendidikan Malaysia