--> Skip to main content

Bekas timbalan pengarah, pegawai JAINJ didakwa tipu

Johor Bahru :

BEKAS timbalan pengarah dan pegawai bahagian pendidikan Jabatan Agama Islam negeri Johor (JAINJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan memperdayakan pemilik syarikat percetakan buku membabitkan kerugian RM100,000, empat tahun lalu.

Kedua tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Kamarudin Kamsun selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Nasir Amir, 58, didakwa atas tiga pertuduhan menipu sehingga mendorong pemilik syarikat tersebut menyerahkan RM50,000 secara berasingan bagi bayaran sumbangan kepada Badan Kebajikan Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Johor.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Februari hingga 30 September 2016 antara 7.30 malam hingga 11.30 malam di lokasi berbeza di Johor Bahru.

Manakala, tertuduh kedua, Mohd Fauzi Arshad, 52, yang juga bekas pegawai bahagian pendidikan JAINJ didakwa atas satu pertuduhan menipu dan memperdaya individu yang sama dengan jumlah RM50,000 kononnya bagi bayaran royalti penulis Buku Latihan Aktiviti (BLA) Keluaran Persatuan Guru Agama Negeri Johor (PERSAGA).

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 hingga 20 April 2016 di Pusat Islam Iskandar.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Hakim menetapkan jaminan RM15,000 bagi kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin dan tertuduhperlu melaporkan diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya SPRM, Zander Lim, manakala kedua tertuduh diwakili peguam Rosli Kamaruddin.

Mahkamah menetapkan 29 September sebagai tarikh sebutan semula kes.