--> Skip to main content

Bekas tentera maut nahas tiga kenderaan

BEKAS tentera maut apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV dipandunya bertembung dengan dua kenderaan lain di Kilometer 13, Jalan Jerantut-Benta, Jerantut, hari ini.

Kemalangan pada 12.30 tengah hari itu menyebabkan mangsa, Zulhisham Azahar, 34, yang berasal dari Kampong Perlok, Ulu Cheka, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, kemalangan berlaku apabila Honda CRV dipandu mangsa dari arah Jerantut ke Ulu Cheka masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori.

"Pertembungan itu menyebabkan Honda CRV mangsa berpusing dan masuk ke laluan asal sebelum berlanggar dengan kereta Proton Waja yang datang dari arah belakang.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpangnya, Sidek Keng, 59, dari Kampung g Pian, Kuala Krau, parah dan dihantar ke Hospital Jerantut sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah ( HoSHAS) Temerloh untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta Proton Waja dan pemandu lori tidak cedera.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.