--> Skip to main content

Bekas pengurus kanan Tabung Haji didakwa rasuah

BEKAS pengurus kanan Lembaga Tabung Haji (TH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM170,477 pada 2015 dan 2018.

Zaharuddin Hamid, 47, yang juga bekas Pengurus Kanan Teknikal (Seksyen Pembangunan Hartanah) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Bagi semua pertuduhan, Zaharuddin didakwa secara rasuah menerima suapan daripada Yusaidi Mohd melalui syarikat Amaneez Creative Solution menggunakan cek yang didepositkan ke dalam akaun Maybank milik kakaknya, Zanita Hamid berjumlah RM170,477 sebagai upah mencadangkan syarikat Consoline Sdn Bhd dan Syarikat MNB Engineering Sdn Bhd bagi kerja ubah suai pejabat TH Ipoh (IFiC), Perak dan tiga di Johor iaitu TH Muar, TH Batu Pahat serta TH Kluang.

Dia dituduh melakukan tiga kesalahan itu di Maybank Desa Pandan, Kuala Lumpur, antara 5 Oktober 2015 dan 24 Mei 2018 mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Abdul Rashid Sulaiman menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Ibu Pejabat SPRM sebulan sekali.

"Kesalahan ini adalah kesalahan yang serius, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun. Selain itu, kedudukan tertuduh di dalam Tabung Haji sebagai pengurus kanan juga perlu diambil kira," kata Abdul Rashid.

Peguam M Athimulan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan sekitar RM40,000 atas alasan tertuduh memberi kerjasama baik kepada SPRM.

"Tertuduh kini tidak bekerja dan sejak ditahan SPRM, anak guam saya juga mengalami kemurungan. Pihak kami bersedia jika mahkamah mengenakan sebarang syarat tambahan," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 22 September depan.