--> Skip to main content

Bekas ahli Al-Ma'unah dibebaskan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong

"SEJAK semalam saya tidak dapat tidur kerana terlalu gembira selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pembebasan," kata Awie, 49, (bukan nama sebenar) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 24, Kuala Berang, hari ini.

Anak kelahiran Kuala Berang itu menjalani hukuman penjara sepanjang hayat mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pergerakan Al-Ma'unah pada 2000.

Awie mendapat perkenan pengampunan Yang di-Pertuan Agong sekali gus dibenarkan bebas pada 10.30 pagi dan dijemput ahli keluarga.

"Saya bersyukur kepada Allah kerana akhirnya memperkenankan doa saya sepanjang 20 tahun menjalani hukuman penjara.

"Lapan tahun menjalani hukuman di Penjara Kajang dan 12 tahun di Penjara Marang.

"Hukuman itu banyak memberi pengajaran kepada saya dan bersyukur banyak ilmu agama dan kemahiran yang dipelajari sepanjang menjalani hukuman," katanya.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam urusan pembebasannya.

"Ribuan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong yang memberi perkenan. Banyak perubahan yang berlaku, saya sekarang sedang menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling yang banyak berubah.

"Seperti kejutan budaya pun ada apabila melihat perubahan dan pembangunan di Terengganu sekarang, maklumlah 20 tahun terkurung di penjara," katanya.

Menurutnya, dia akan tetap meneruskan rutin membaca al-Quran seperti di penjara kerana itu amalan yang memberi ketenangan kepadanya.

"Rutin harian saya membaca al-Quran pada setiap hari, paling kurang dua kali sebulan khatam.

"Saya akan cuba bahagikan masa untuk meneruskan amalan harian saya di penjara itu seperti biasa," katanya.

Berita berkaitan

• Bekas ahli Al-Ma'unah khatam al-Quran 160 kali [METROTV]