--> Skip to main content

Bapa ditahan bantu siasatan

LELAKI pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) yang juga bapa kepada kanak-kanak ditemui merayau di kawasan bank di Taman Putra, Ampang, ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dimaklumkan oleh orang awam mengenai kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dengan berpakaian lengkap dalam keadaan tidak tentu arah tanpa pengawasan waris atau penjaga.

Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Susulan itu, pada 7 malam ini, polis berjaya mengesan bapanya iaitu seorang lelaki warga asing berusia 39 tahun bekerja di kilang cermin.

"Dia kemudian ditahan untuk tindakan selanjutnya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 ," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan polis mengesan waris kanak-kanak lelaki yang dijumpai berkeliaran di kawasan Taman Putra, Ampang, hari ini.

Usaha mengesan keluarga gagal kerana kanak-kanak itu tidak dapat bercakap dengan sempurna dan dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk tindakan selanjutnya.

Berita berkaitan

• Milik siapakah anak ini?