--> Skip to main content

Bantu 500 keluarga di lima PPR

EDRA Power Holdings Sdn Bhd (Edra), sebuah Penjana Tenaga Bebas (IPP), terkemuka tampil membantu lebih 500 keluarga isi rumah B40 yang menghadapi kesukaran dalam menghadapi wabak Covid-19.

Edra Power Holdings Sdn Bhd (Edra) dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Women of Will mengedarkan bekalan keperluan asas untuk dua bulan membabitkan beras, minyak masak, makanan dan minuman dalam tin kepada lima Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang.

Naib Presiden Hal Ehwal Awam Kumpulan Edra, Jennifer Aleeya Wong berkata, PPR itu adalah PPR Bandar Tun Razak, PPR Lembah Subang, PPR Batu Muda, PPR Taman Keramat dan PPR Sungai Sering.

"Walaupun kita kini berada pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP), ada keluarga masih berjuang untuk memberi makan keluarga terutama dalam kalangan kumpulan B40," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Edra Power adalah IPP kedua terbesar di Malaysia dan mengendalikan sembilan loji jana kuasa tempatan di Mesir dan Bangladesh.

"Walaupun program bantuan dimulakan dua minggu lalu, Edra Power percaya lebih banyak bantuan daripada sektor swasta diperlukan untuk membantu usaha kerajaan dalam membantu rakyat.

"Bantuan berkenaan sedikit-sebanyak dapat memastikan penerima menyimpan sedikit wang dapur untuk dijadikan modal perniagaan kecil mereka atau membayar sewa sebaik penangguhan bayaran pinjaman di bank berakhir pada September ini," katanya.

Penjual makanan, Siti Aida Nyan berkata, bantuan berkenaan tepat pada masanya setelah suaminya baru sahaja mendapat pekerjaan dan beliau berusaha memulakan semula perniagaan dalam talian.