--> Skip to main content

Azlee Khairi jaga berat badan selepas PKP

KUALA LUMPUR: Badan yang mudah berisi merunsingkan pelakon, Azlee Khairi yang sudah diberi peringatan untuk memastikan penampilan segak bagi projek drama rantaian 28 episod untuk slot Akasia di TV3.

Mengaku berisi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Azlee mula mengambil pendekatan intensif untuk mengurangkan berat badan apatah lagi penerbit, Jalena Rejab dari syarikat produksi, Country Universal sudah memberi teguran.

"Berat badan saya naik sejak PKP. Saya suka menikmati pelbagai makanan. Apatah lagi, Mama datang ke rumah. Hendak makan apa, semuanya terhidang di depan mata.

Azlee mula bersenam secara intensif bagi mengurangkan berat badan atas saranan penerbit drama. Foto IG Azlee Khairi Azlee mula bersenam secara intensif bagi mengurangkan berat badan atas saranan penerbit drama. Foto IG Azlee Khairi

"Apabila berehat lama di rumah tanpa aktiviti, berat badan mendadak naik. Sebaik penggambaran dibenarkan disambung dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), barulah tersentak mengenai keperluan mengurangkan berat badan," katanya kepada BH Online.

Azlee berkata, dia mula mengamalkan 'jogging' pada tengah hari sambil memakai jaket untuk membakar lemak dengan lebih cepat.

"Apabila melakukannya, saya teringat pengalaman bekerja sebagai buruh binaan di Perak, beberapa tahun lalu. Ketika itu, berat badan turun kerana bekerja di bawah matahari terik.

"Selain itu, saya mula mengawal pengambilan nasi dan gula," katanya.

Mengenai perkembangan karier seni, Azlee bersyukur rezeki terus menyebelahinya.

"Saya kembali berlakon untuk drama Seadanya Aku sejak September tahun lalu berganding dengan Zara Zya. Bulan depan, genap setahun saya kembali aktif.

"Saya akan terbabit dengan penggambaran drama bersama Puteri Aishah pula," katanya yang turut berlakon dalam drama Derhaka Cinta Jebat, telefilem Ungku dan Kita Merdeka sejak aktif semula.

Ditemui pada sidang media telefilem Kita Merdeka di ibu negara, baru-baru ini, Azlee berkata, dia membawa watak pengurus syarikat peruncitan dalam karya itu.

"Telefilem itu mengangkat kisah kakitangan bahagian peruncitan yang dianggap pekerja barisan hadapan memastikan bekalan keperluan harian rakyat mencukupi," katanya.

Telefilem Kita Merdeka yang akan disiarkan TV3 pada jam 10 malam esok, turut dibintangi Elisya Sandha, Fadhlan Hazim, Amy Mastura, Keith Foo dan ramai lagi.