--> Skip to main content

Azlan akui timba banyak ilmu menerusi Merdeka Race

SEPANG: Azlan Shah Kamaruzaman menyifatkan dirinya banyak menimba ilmu baharu dalam perlumbaan empat roda Merdeka Race, satu dunia yang nyata berbeza daripada karier dua roda profesional diceburinya.

Hari ini Azlan yang memandu jentera Suzuki Swift berjaya menamatkan Perlumbaan 1 Kelas S Production 2 dalam Siri Kejuaraan Malaysia (MCS) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan berada di tempat ke-11 keseluruhan selepas bermula daripada petak ke-25.

Azlan yang mewakili pasukan Empire M Racing itu pada satu ketika mampu meletakkan dirinya berada di kedudukan ketujuh sebelum isu teknikal membelenggunya di penghujung pemanduan.

"Sangat menarik," kata Azlan ketika diminta mengulas mengenai pengalaman pertamanya itu.

"Kami memulakan perlumbaan daripada petak belakang sekali. Kami berusaha sehingga dapat nombor tujuh dan apabila hampir untuk pertukaran pemandu, kereta saya mengalami masalah.

"Saya terpaksa berhenti tepi, menghidupkan semula enjin. Seperti ada masalah dengan ECU (Unit Kawalan Elektronik), saya pandu untuk bawa ke pit sebelum bertukar pemandu. Jadi hari ini (semalam), menamatkan perlumbaan di tempat kedua terakhir tetapi dapat juga menamatkan saingan."

Juara kelas ASB1000cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019 itu dijadual menyertai dua perlumbaan 'padat' hari ini iaitu Perlumbaan 2 MCS dan Malaysia Speed Festival (MSF) yang berlangsung di bawah lampu limpah SIC.

"Bagi saya tak ada masalah. Kalau menunggang motosikal, saya banyak menggunakan pergerakan badan. Untuk empat roda, tangan yang banyak bergerak. Jadi ia tidak begitu memenatkan seperti menunggang motosikal.

"Esok saya ada dua kategori, memandu jentera Suzuki Swift ini dan satu lagi Honda EG6 1.8. Ini juga satu pengalaman baharu di sini, kerana berlumba pada waktu malam," kata Azlan.