--> Skip to main content

Azhar perjelas isu henti 10 minit sidang Dewan Rakyat

SPEAKER Dewan Rakyat memaklumkan keputusan menempohkan persidangan selama 10 minit adalah bagi memberi masa kepada Ahli Parlimen di luar dewan menyertai pengundian belah bahagi.

Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ketika memasyhurkan petua itu di Dewan Rakyat pada 11 Ogos lalu, tiada sebarang bantahan diterima daripada Ahli Parlimen.

Menurutnya, tempoh 10 minit diberikan kepada Ahli Parlimen yang berada di bangunan bersebelahan Dewan Rakyat untuk hadir bagi bersama mengambil bahagian dalam undi belah bahagi.

"Semalam terhadap kekeliruan apabila saya menempohkan persidangan selama 10 minit. Saya sudah menyatakan mengikut petua yang saya masyhurkan di dewan ini pada 11 Ogos lalu.

"Kita akan beri masa 10 minit yang datang dari bangunan bersebelahan dan lif juga hanya boleh digunakan empat orang saja.

"Sayangnya semalam bila dinyatakan sebegitu (menempohkan dewan) suara saya ditenggelami dengan suara Yang Berhormat. Saya harap perkara ini tidak timbul lagi," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat kecoh apabila Azhar menempohkan sidang selama 10 minit sebelum pengundian belah bahagi dijalankan bagi meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 bagi perkhidmatan.

Ahli Parlimen dari blok pembangkang ternyata tidak berpuas hati dan mempersoalkan keputusan Azhar dan mendakwa ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

Selepas 10 minit, Azhar kembali ke dalam Dewan Rakyat sebelum mengarahkan pengundian belah bahagi dilakukan menyaksikan Rang Undang-Undang berkenaan diluluskan dengan sokongan 111 Ahli Parlimen.