--> Skip to main content

AUKU 1971 masih relevan

AKTA Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) masih relevan, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementerian sentiasa terbuka terhadap cadangan dan pandangan bagi menambah baik akta itu termasuk memperkasakan jawatankuasa teknikal AUKU yang terdiri daripada pakar undang-undang, ahli akademik dan bukan akademik daripada universiti awam dan swasta serta penuntut dan alumni.

"KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) responsif ke atas aspirasi pelbagai pihak yang inginkan AUKU ditambah baik dari semasa ke semasa.

"Atas dasar itulah AUKU mengalami proses pindaan sebanyak tujuh kali sejak diwartakan pada 1971 hingga pindaan terakhir pada 2019," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan bagi menjawab usul yang dibangkitkan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) iaitu sama ada KPT berhasrat mengekalkan AUKU, di Kamar Khas persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Berikutan itu, Noraini berkata, usaha berterusan bagi menambah baik AUKU akan terus dilaksanakan, antara lain untuk mempergiatkan proses libat urus dengan pihak berkepentingan seperti penuntut, kakitangan akademik dan pengurusan universiti.

"KPT komited untuk terus melaksanakan sesi libat urus secara berterusan dengan semua pemegang taruh termasuk mahasiswa bagi memastikan akta ini terus relevan dan selari dengan keperluan semasa pengajian tinggi," katanya.