--> Skip to main content

ASM 2 agih pendapatan 4.0 sen seunit

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan 4.00 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia 2 Wawasan (ASM 2 Wawasan) untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2020.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu juga berkata, pengagihan pendapatan itu membabitkan RM907.3 juta yang memanfaatkan 890,038 pemegang unit dengan pegangan 22.6 bilion unit.

"Di sebalik prestasi pasaran saham yang sangat mencabar dipengaruhi oleh pandemik COVID-19, pulangan ini kekal kompetitif dan mengatasi penanda aras pulangan purata Deposit Tetap 12 bulan Maybank pada kadar 2.61 peratus sebanyak 139 mata asas bagi tahun

kewangan semasa sehingga 26 Ogos 2020.

"FBM KLCI juga mencatatkan penurunan sebanyak 3.88 peratus daripada 1,612.1 mata kepada 1,549.6 mata dalam tempoh yang sama.

"ASM 2 Wawasan telah mencatatkan pendapatan bersih direalisasi sebanyak RM802.3 juta untuk sebelas bulan pertama tahun kewangannya pada 31 Julai 2020.

"Dana ini menjana jumlah pendapatan kasar direalisasi sebanyak RM1,043.7 juta, dengan keuntungan dividen daripada pelaburan dalam syarikat tersenarai dan tidak tersenarai berjumlah RM579.4 juta atau 55 peratus daripada jumlah pendapatan kasar direalisasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PNB berkata, pendapatan daripada jualan saham menyumbang RM281.1 juta atau 27 peratus, dengan baki RM183.2 juta atau 18 peratus adalah daripada pelaburan dalam sukuk, deposit tetap Islamik dan instrumen berpendapatan tetap lain serta lain-lain pendapatan.

Katanya, pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASM 2 Wawasan adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan yang dimiliki sepanjang tahun kewangan dana tersebut.

Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 2 Wawasan katanya akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 September 2020.

Semua urus niaga bagi ASM 2 Wawasan telah ditangguhkan buat sementara waktu mulai 27 hingga 31 Ogos 2020 untuk tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka melalui portal ASNB www.myasnb.com.my atau aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan dan ejen ASNB seluruh negara apabila urus niaga kembali beroperasi pada 1 September 2020.