--> Skip to main content

Asing banduan hukuman berat dan ringan

KERAJAAN bercadang melakukan pengasingan penjara antara banduan yang menjalani hukuman berat dan hukuman ringan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, setakat ini terdapat lebih 45,000 banduan di 39 penjara di seluruh negara diletak dalam satu-satu bahagian kawasan penjara yang sama.

"Mengapa tidak ditentukan kelompok banduan yang menjalani hukuman ringan ini supaya tidak ditempatkan bersama banduan yang menjalani hukuman berat.

"Ambil contoh bila mana mereka ini (banduan melakukan kesalahan ringan) ditempatkan di satu kawasan penjara yang dijadikan bangunan tinggi khusus buat mereka yang mana mereka ini boleh digunakan sebagai buruh kerja yang boleh kerajaan aturkan bermacam-macam program," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Penjara Malaysia di Kajang, hari ini.

Terdahulu, Hamzah menghadiri Majlis Sambutan Hari Penjara ke-230 dan melakukan lawatan di Rawatan Pemulihan Dadah (RPD) di Kompleks Penjara Kajang.

Hamzah berkata, jika banduan ringan bercampur dengan banduan berat berkemungkinan tinggi akan melakukan kesalahan berbeza pada masa akan datang.

"Jika mereka bergaul... mungkin akan didedahkan dengan perkara baru oleh banduan lain," katanya.