--> Skip to main content

Arak tiruan dirampas

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar kegiatan sindiket memproses dan mengedar minuman keras dipercayai tiruan bagi pasaran di sekitar Lembah Klang.

Ia hasil serbuan Op Methanol dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas (PGK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, pada 26 Ogos lalu.

Timbalan Pengarah (Gerakan) JKDNKA Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, serbuan dilakukan di tiga lokasi berasingan di Klang, Selangor membabitkan nilai rampasan hampir RM600,000.

Menurutnya, menerusi operasi berkenaan juga, polis menahan empat lelaki termasuk dua warga Bangladesh berusia antara 31 hingga 44 tahun.

"Dalam serbuan pertama, pasukan menahan dua lelaki tempatan dan menemui 435 kotak berisi 10,440 tin minuman keras lalu merampas kereta Proton Persona serta sebuah van.

"Soal siasat ke atas suspek itu membawa kepada serbuan di sebuah premis di Taman Klang Utara dan menemui 409 kotak berisi 14,090 botol minuman keras dipercayai tiruan.

"Polis turut menemui stiker minuman keras pelbagai jenama, setem cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia disyaki palsu, mesin pengedap penutup botol minuman keras buatan sendiri, tangki air dan tong mengandungi cecair alkohol serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses minuman keras tiruan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azri berkata, hasil siasatan lanjut dilakukan, polis menyerbu sebuah lagi premis di Kampung Sungai Pinang, Klang dan menahan dua lelaki warga Bangladesh.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 207 kotak berisi 5,415 tin dan botol minuman keras pelbagai jenama serta sebuah van.

"Hasil rampasan bagi ketiga-tiga serbuan itu dianggarkan bernilai RM539,649," katanya.

Katanya, dua suspek tempatan direman tujuh hari bermula 27 Ogos sehingga 2 September bagi membantu siasatan. mengikut Seksyen 116c Akta Kastam 1967.

"Dua suspek warga asing direman 14 hari sehingga 9 September mengikut Seksyen 55(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 6(1) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.