--> Skip to main content

APMM patah cubaan seludup diesel

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Perlis mematahkan cubaan sebuah bot untuk menyeludup 4,000 liter diesel ke negara jiran di muara Kuala Perlis, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, dalam serbuan 11.30 pagi itu, pihaknya menyita sebuah bot pukat hanyut kelas A yang diubah suai dan berisi 4,000 liter diesel.

Menurutnya, dua lelaki disyaki penyeludup sempat melarikan diri ke daratan sejurus melihat bot peronda APMM memasuki kawasan muara berkenaan.

"Kami percaya tekong bersama seorang lagi awak-awak didapati terbabit dalam melakukan aktiviti penyeludupan diesel dengan memindahkannya dari bot ke bot yang lain.

"Namun, mereka melarikan diri sebaik menyedari pihak berkuasa tiba di kawasan berkenaan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit mendapati ia sudah diubah suai bagi memuatkan diesel dalam kuantiti yang besar.

"Kita dapati bahagian penyimpanan yang sepatutnya diletakkan muatan ikan sudah diubah menjadi ruangan penyimpanan atau tangki diesel.

"APMM percaya aktiviti penyeludupan minyak atau diesel ini sering dilakukan oleh nelayan tempatan dan rondaan Op Benteng Laut khusus di perairan Perlis kerap dilakukan," katanya.

Katanya, semua bahan bakar dan bot yang dirampas dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.