--> Skip to main content

Anugerah penghormatan kepada KKM

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengucapkan kesyukurannya atas penganugerahan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Beliau yang dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, berkata, ia adalah satu penghargaan daripada Yang di-Pertuan Agong selain kepercayaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepadanya yang mewakili Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Alhamdulilah. Ini adalah satu penghargaan daripada Yang di-Pertuan Agong dan kepercayaan Perdana Menteri kepada saya yang mewakili KKM dan khususnya petugas barisan hadapan KKM (dalam) memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada negara," katanya.

Terdahulu Dr Noor Hisham menerima darjah kebesaran berkenaan daripada baginda dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2020 bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung di Istana Melawati, di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut berkongsi penghormatan itu melalui laman sosial Facebook.

"Merafak sembah, menjunjung kasih mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di atas limpah perkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) ke atas patik sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tahun 2020 di Istana Melawati, Putrajaya.

"Alhamdulilah, gelaran dan darjah kebesaran ini merupakan satu penghormatan kepada semua petugas barisan hadapan dan di belakang tabir Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ia sekaligus merupakan lambang kepercayaan dan penghargaan Kerajaan kepada penjawat awam.

"Semoga segala penghargaan yang dikurniakan kepada para petugas dalam memerangi pandemik Covid-19 ini akan membakar semangat kami semua untuk terus menjalankan tugas demi kesihatan rakyat dan keselamatan negara," katanya.

Pada Julai lalu, Dr Noor Hisham dan KKM turut menerima penghargaan atas usaha menangani penularan wabak Covid-19 di negara ini apabila mendapat pengiktirafan dunia menerusi Anugerah BrandLaureate oleh The Worlds Brands Foundation.

Kepemimpinan Dr Noor Hisham bersama petugas barisan hadapan menangani penularan pandemik Covid-19 melayakkannya menerima Anugerah BrandLaureate - Kecemerlangan Jenama Kepemimpinan 2020.

Dr Noor Hisham Abdullah kini Tan Sri

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, berkenaan mengurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.