--> Skip to main content

Angkat Cerita Ajaran Sesat, Ini 11 Perkara Menarik Mengenai Jalan Sesat Ke Syurga

Semenjak ia ditayangkan bermula 3 Ogos lalu, drama rantaian Jalan Sesat Ke Syurga menjadi bualan ramai dalam kalangan penonton di media sosial.

Rata-ratanya memuji jalan cerita dan garapan baharu untuk mengangkat drama bergenre Islamik ke layar kaca.

Jalan Sesat Ke Syurga mengisahkan Inara, seorang gadis periang yang gemar berpeleseran diduga pengalaman 'mati hidup semula' hingga membuatkan dia insaf dan ingin mencari jalan kebenaran.

Ketika cuba mendalami Islam, Inara menjalinkan hubungan rapat dengan Hamzah dan pada masa sama keliru dengan fahaman Islam yang diamalkan kedua-dua ibu bapanya.

Untuk peminat drama rantaian Jalan Sesat Ke Syurga, Gempak senarikan 11 perkara menarik mengenai naskhah ini:

1.    Sutradara Osman Ali yang merupakan Pengarah Kreatif untuk drama Jalan 'Sesat' Ke Syurga tidak memerlukan pengenalan yang panjang lebar kerana direktori seni dan reputasi beliau dalam bidang pengarahan cukup dikagumi.

2.    Manakala penulis skrip untuk drama ini iaitu Siti Jasmina Ibrahim pula pernah memenangi beberapa anugerah berprestij dalam bidang penulisan seperti Anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobbil.

3.    Kumpulan ajaran sesat yg diketengahkan dalam drama ini iaitu 'Hawa Islam' dan 'Gerakan Elit' adalah hasil kaji selidik mendalam yang dilakukan oleh syarikat produksi dan penulis skrip. Ia diinspirasikan daripada gerakan golongan ekstrimis dan feminis yang memperjuangkan ideologi sesat dan bercanggah dengan garis panduan Islam yang sebenar untuk kepentingan sendiri.

4.    Drama ini juga turut mendapat khidmat nasihat daripada jabatan agama Islam serta golongan yang sudah insaf dan pernah menyertai kumpulan ajaran sesat sebelum ini.

5.    Drama Jalan Sesat Ke Syurga juga turut mempertaruhkan empat pelakon handalan selaku tonggak utama iaitu Datuk Aaron Aziz, Elizad Syarifuddin, Aleza Shadan dan Datuk Jalaluddin Hassan.

6.    Datuk Jalaluddin juga mengalami kecederaan di kaki semasa penggambaran dan terpaksa berehat untuk beberapa hari. Namun dia masih bersemangat dan komited untuk meneruskan penggambaran walaupun dalam keadaan kaki yang bengkak.

7.    Jadual Elizad agak padat kerana dia juga merupakan penyampai radio sepenuh masa di SINAR. Oleh itu, semua jadual penggambaran terpaksa disusun mengikut jadual tugasan radio Elizad.

8.    Cabaran terbesar sepanjang penghasilan drama ini ialah penggambaran yang tertangguh ketika tempoh kritikal sewaktu arahan PKP dikeluarkan. Namun, penggambaran drama ini akhirnya dapat disiapkan mengikut garis masa yang diberikan selepas mendapat kelonggaran daripada pihak berkuasa sewaktu tempoh PKPP dilaksanakan walaupun terikat dengan SOP yang ketat.

9.    Untuk mengejar garis masa sekaligus mempercepatkan keseluruhan proses penggambaran, krew produksi yang terlibat telah dipecahkan kepada dua pasukan bagi memastikan drama ini dapat disudahkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

10.    Lokasi utama penggambaran drama 'Jalan Sesat Ke Syurga' telah dijalankan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur serta masih lagi dalam fasa penggambaran pada ketika ini.

11.    Single Luka nyanyian MADAM yang merupakan band pertama di bawah naungan syarikat pengurusan Rocketfuel Entertainment diangkat sebagai lagu tema untuk drama bersiri ini.

Jangan lupa saksikan karya yang ditayangkan menerusi slot Tiara secara eksklusif di saluran Astro Prima HD (105) dan Astro Prima (125) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.