--> Skip to main content

Angin lintang, cuaca panas halangan kayuhan abang bomba

JURULATIH Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, yang melakukan Kayuhan Solo Amal 2020 'Mencari Hati Emas' selamat tiba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar, 6.32 petang, hari ini.

Ketibaan Mohd Fakhrul, 38, disambut Ketua BBP Sungai Besar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Khuzaimey Ibrahim dan anggota bomba lain.

Mohd Fakhrul berkata, dia sebelum itu melawat BBP Hutan Melintang, Perak dan BBP Sabak Bernam sebelum menuju ke BBP Sungai Besar untuk bermalam.

"Insya-Allah, esok saya akan memulakan semula perjalanan dan melawat BBP Sekinchan, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Kapar dan seterusnya ke BBP Bukit Jelutong, Shah Alam.

"Saya difahamkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan menyambut saya di sana (BBP Bukit Jelutong) esok," katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Anak kelahiran Sik, Kedah itu berkata, dia yang mengayuh dari Pantai Remis, Perak mengalami beberapa kesukaran seperti angin lintang laut dan cuaca panas.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kesukaran itu berjaya dihadapi dan pasukan pengiring sentiasa bersama semasa kayuhan berlangsung.

"Setiap hari saya mengayuh secara purata antara 100 hingga 150 kilometer (km) dan bermalam di setiap BBP di setiap negeri.

"Pengalaman bertugas selama 15 tahun selain pernah menyertai ekspedisi mendaki gunung termasuk di luar negara banyak membantu menjayakan kayuhan amal ini dan sehingga kini saya sudah melakukan kayuhan sejauh 2,450km.

"Selepas ini, saya akan menghabiskan kayuhan ini dan lokasi terakhir adalah di Putrajaya pada 31 Ogos ini," katanya.