--> Skip to main content

Anggota polis cedera ditikam penagih

DUA penagih dadah menyerang termasuk menikam seorang anggota polis untuk meloloskan diri dalam kejadian di Taman Puri Warisan, Inanam, Kota Kinabalu, semalam.

Bagaimanapun dalam kejadian 1.35 tengah hari itu, dua lelaki tempatan berusia 33 dan 39 tahun terbabit berjaya ditahan anggota polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, sepasukan anggota dan pegawai polis menjalankan operasi di kawasan berkenaan.

Katanya, pasukan polis terserempak dengan dua lelaki yang sedang menghisap dadah di bawah tangga di blok bangunan perumahan berkenaan.

"Sebaik menyedari kehadiran polis, kedua-dua suspek terus membuang dua paket syabu sebelum melarikan diri.

"Bagaimanapun, seorang suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan gunting besi yang diubahsuai dan terus menyerang anggota polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, ketika pergelutan itu, suspek menikam anggota polis di bahagian lengan dan rusuk kiri.

Katanya, seorang lagi suspek turut bertindak merempuh dan menumbuk seorang anggota polis yang cuba menahan mereka.

"Bagaimanapun, kedua-dua suspek akhirnya berjaya ditahan dan gunting besi itu dirampas.

"Polis turut merampas sebilah pisau berukuran 32 sentimeter yang diselitkan di pinggang suspek dan menemui dua paket syabu seberat 0.20 gram yang bernilai RM20 berdasarkan harga pasaran semasa," katanya.

Habibi berkata, anggota polis yang cedera sudah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan dan sudah dibenarkan keluar.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958," katanya.