--> Skip to main content

AMMB rugi RM25 juta setiap penurunan 25 mata OPR

KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd menjangka kerugian pendapatan sebanyak RM25 juta bagi setiap pengurangan 25 mata asas (bps) kadar dasar semalaman (OPR), yang diunjurkan kira-kira 1.25 hingga 1.50 peratus bagi 2020.

OPR kini pada paras terendah sebanyak 1.75 peratus, selepas dikurangkan sebanyak empat kali setakat ini pada tahun ini.

"Secara ringkasnya, 25 bps adalah RM25 juta setahun, iaitu RM1 juta untuk satu bps, dan ini secara langsung memberi kesan kepada keuntungan," kata Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Group, Datuk Sulaiman Mohd Tahir.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan datang dijadualkan pada 10 September dan mesyuarat terakhir bagi tahun ini dijangka diadakan pada 3 November.

Selain itu, kumpulan menjangka pertumbuhan pinjamannya tidak berubah pada dua peratus, sama dengan unjuran pertumbuhan purata industri.

Pada tahun kewangan 2020, pertumbuhan pinjaman bank itu sebanyak lima peratus atau RM107.2 bilion, lebih baik daripada purata industri sebanyak empat peratus.

Bank itu turut mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2020 berada antara -3.6 peratus dan - 5.6 peratus, manakala pertumbuhan eksport dijangka susut 6.5 peratus.

Semalam, kumpulan itu mengumumkan keuntungan bersih yang rendah sebanyak RM365.17 juta bagi suku pertama 2021 daripada RM391.46 juta pada suku pertama 2020.

Pendapatan susut kepada RM2.21 bilion dalam tempoh berakhir 30 Jun, 2020 daripada RM2.39 bilion sebelum ini berikutan impak daripada pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain pelonggaran monetari yang pesat membawa kepada margin yang terhad untuk bank.

Mengenai laporan kemungkinan penjualan AmMetLife Insurance Bhd, Sulaiman berkata bank sedang mengkaji segmen insuransnya untuk melihat sama ada ia adalah perniagaan teras atau bukan teras untuk kumpulan itu.

Dilaporkan semalam bahawa MetLife Inc dan AMMB bekerjasama dengan penasihat mengenai kemungkinan penjualan perniagaan milik bersama itu.

– BERNAMA