--> Skip to main content

Amanat ayah jadi pegangan wakil rakyat baharu

SLIM RIVER: Wakil rakyat baharu, Mohd Zaidi Aziz, 44, yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, semalam menjadikan amanat ayahnya sebagai panduan bagi menjalankan tugas sebagai wakil rakyat, dekat sini.

Mohd Zaidi berkata, sebelum beliau bertanding dalam PRK DUN Slim beliau terlebih dahulu memohon restu daripada ayahnya, Aziz Nordin, 80, supaya dipermudahkan segala usahanya dalam siri kempen PRK yang lalu.

"Ayah merestui saya, cuma nasihatnya apabila berada di atas, jangan lupa orang di bawah sebab asal usul saya pun berasal daripada keluarga susah.

"Saya kena bantu masyarakat dan perlu kenang balik kehidupan 22 tahun lepas yang saya berasal daripada keluarga penoreh getah dan perlu bertatih untuk sampai ke tahap ini," katanya.

Beliau ditemui ketika membuat penampilan sulung ke Pasar Awam Slim River, bertemu dengan peniaga dan orang ramai serta mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan menjadi wakil rakyat baharu.

Turut bersama, isterinya, Juliana Sarip, 44, anak perempuan, Maryam T Hani, 5, dan ayahnya, Aziz, serta adiknya, Anuar, 37, sambil membeli barang basah untuk mengadakan kenduri kesyukuran bersama keluarga.

Mohd Zaidi berkata, bagi menyelesaikan permasalahan penduduk hasil dapatan ketika berkempen, beliau akan meneliti balik catatan yang beliau buat sepanjang kempen yang lalu.

"Ada beberapa isu dibangkitkan penduduk, ada perkara yang boleh diselesaikan dengan segera dan saya akan selesaikan.

"Mana yang perlu ada perancangan dan perlu dibawa ke peringkat atasan, saya akan lakukan serta melihat semua dahulu perkara ini serta lihat balik keutamaan yang perlu disegerakan.

"Soal infra dan banjir, saya rasa perkara itu sudah diambil tindakan oleh pihak Majlis Daerah Tanjung (MDTM), Pejabat Tanah dan Daerah serta agensi lain," katanya.

Beliau berkata, masalah dihadapi oleh peniaga di pasar juga perlu diambil berat kerana ketika peringkat awal penularan wabak COVID-19 di dapati ada peniaga yang terjejas.

Katanya, peniaga diharap bersabar dan beliau akan lihat bagaimana cara untuk membantu mereka terutama mengadakan kembali pasar minggu (Ahad) di kawasan itu untuk membantu peniaga.