--> Skip to main content

Alvin lupakan cinta

KUALA LUMPUR: Kali terakhir bercinta kira-kira dua tahun lalu, penyanyi dan pelakon, Alvin Chong, 29, belum sedia memikirkan soal teman hidup dan mengakhiri zaman bujang.

Selesa dengan prinsip tidak berkongsi kisah peribadi, Alvin lebih suka memberi perhatian kepada keluarga dan kerjaya yang kembali rancak selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan.

Malah, tumpuan Alvin lebih kepada komitmen seni, apatah lagi ketika COVID-19 memuncak, dia diburu rasa bimbang terjejasnya pendapatan. Apatah lagi, Alvin mempunyai komitmen kewangan selepas memiliki kediaman sendiri.

"Apabila pandemik COVID-19 melanda, semua pihak menerima kesannya. Saya yang mencari rezeki sebagai artis turut bimbang.

"Saya banyak berfikir panjang... Risau tidak dapat membayar pinjaman rumah. Sebab itulah saya belum bersedia memikirkan soal cinta atau kahwin.

Alvin lebih memberi tumpuan kepada karier seni daripada memikirkan soal jodoh. Foto Ihsan Alvin Chong Alvin lebih memberi tumpuan kepada karier seni daripada memikirkan soal jodoh. Foto Ihsan Alvin Chong

"Ibu bapa saya juga menerima kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPP hingga terputus pendapatan dan rezeki," katanya yang melancarkan single berentak reggaeton berjudul Sayangku Salmah di ibu negara, semalam.

Alvin yang berasal dari Pulau Pinang mengaku COVID-19 memberi kesan kepada keluarganya.

"Orang mungkin fikir saya datang dari keluarga senang. Hakikatnya, tidak sama sekali. Bayangkan, pada usia tujuh tahun saya sudah mula bekerja.

"Pada usia 18 tahun, saya nekad merantau dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur sendirian," katanya.

Alvin berkata, bapanya yang berusia 55 tahun, terpaksa membuat keputusan menutup kopitiam yang diusahakannya akibat penularan COVID-19.

"Bapa saya tidak berniaga lagi sejak PKP. Ibu yang bekerja sebagai pelayan kelab malam juga tidak dapat bekerja selepas majikan membuat potongan gaji. Sama juga dengan adik bongsu yang masih berusaha mencari kerja.

"Ketika ini, saya dan seorang lagi adik mengambil tanggungjawab membantu keluarga. Namun, saya belum terfikir membawa ibu bapa ke Kuala Lumpur kerana kos sara hidup di sini, tinggi," katanya.

Mengulas mengenai single Sayangku Salmah, Alvin berkata, video muzik lagu berkenaan akan dilancarkan di saluran YouTube miliknya, esok.

Apa yang istimewa, kata Alvin, klip video itu dipersembahkan dalam format travelog tiga episod.