--> Skip to main content

Alternatif sumber air ketika kemarau

KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (Kasa) bercadang membina Takungan Air Pinggir Sungai (Taps) bagi menjamin sumber bekalan air sentiasa mencukupi.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, Taps akan dibina dipinggir sungai seluruh negara bagi meningkatkan keupayaan takungan air yang boleh digunakan ketika musim kemarau.

Menurutnya, Taps juga boleh menjadi alternatif kepada sumber air bawah tanah selain mengurangkan kebergantungan penuh kepada empangan untuk membekalkan air kepada pengguna.

"Keberkesanan Taps sudah dibuktikan berkesan di Selangor dan saya kira ini usaha terbaik yang akan kita gunakan pada masa akan datang," katanya ketika menjawab soalan dalam Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Soalan itu dikemukakan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) yang bertanyakan kesiapsiagaan negara bagi menghadapi musim panas dan kemarau berpanjangan khususnya di kawasan tadahan hujan dan empangan.

Ahmad Masrizal berkata, kementeriannya akan terus memantau paras sungai dan empangan utama seluruh negara yang membekalkan air mentah kepada loji rawatan air agar tiada masalah kekurangan air pada musim kemarau.

Menurutnya, Pelan Kontingensi Bekalan Air juga akan diaktifkan sekiranya kementerian mendapati paras sungai dan empangan menyusut kepada paras kritikal.

"Bagi mengatasi masalah kekurangan air, kementerian juga sudah mengenal pasti sumber air alternatif seperti air kolam dan air bawah tanah yang selamat digunakan untuk menambah sumber air sedia ada.

"Langkah drastik seperti catuan air akan dilaksanakan kepada pengguna sekiranya paras sungai dan empangan menyusut ke paras kritikal dan memastikan keperluan logisktik penghantaran air bekalan disediakan," katanya.